Markus 11:22-33

Markus 11:22-33 AVB

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Berimanlah kepada Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya. Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.” Selepas itu, mereka masuk semula ke Yerusalem. Sedang Dia berjalan di dalam Bait Suci, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya. Mereka berkata kepada-Nya, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa untuk melakukannya?” Tetapi Yesus menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu. Baptisan Yohanes daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!” Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’ Tetapi, apa pula kalau kita berkata, ‘Daripada manusia!’ ” (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yohanes seorang nabi.) Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”

Video untuk Markus 11:22-33