Matius 9:9-17
Matius 9:9-17 AVB
Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Yesus berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata, “Ikutlah Aku.” Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya. Ketika Yesus sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Yesus dan murid-murid-Nya. Orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada murid-murid Yesus, “Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa?” Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Kajilah erti ayat ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.” Selepas itu, para murid Yohanes Pembaptis mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Mengapakah kami dan orang Farisi berpuasa tetapi murid-murid-Mu tidak?” Yesus menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian. Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, kirbat itu akan pecah, air anggur itu akan terbuang dan kirbat itu pun rosak. Air anggur yang baru mesti dituangkan ke dalam kirbat kulit yang baru, dan kedua-duanya selamat.”

