Matius 9:1-8
Matius 9:1-8 AVB
Yesus menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal. Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.” Sebilangan ahli Taurat di situ berfikir dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, “Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan?’ Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Kemudian Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya. Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia.

