Matius 18:1-9
Matius 18:1-9 AVB
Pada ketika itu para murid Yesus datang bertanya kepada-Nya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang dalam kerajaan syurga nanti?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus pun berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil, kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga. Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku.” Sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api kekal. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam api neraka.

