Matius 14:22-32

Matius 14:22-32 AVB

Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri. Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan. Antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, “Hantu!” Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut.” Petrus berkata, “Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.” “Marilah,” sahut Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus. Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. “Tuhan! Selamatkan aku!” serunya. Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, “Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?” Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada.