Imamat 19:9-18

Imamat 19:9-18 AVB

Apabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah TUHAN, Allahmu. Jangan mencuri, menipu atau berbohong antara satu sama lain. Jangan bersumpah palsu atas nama-Ku agar jangan sampai kamu mencemarkan nama Allahmu. Akulah TUHAN. Jangan menindas atau merompak jiranmu; dan secara khususnya, jangan kamu tahan pembayaran upah seseorang semalaman sampai pagi harinya. Jangan kamu mengutuk orang yang pekak dan jangan kamu letakkan batu sandungan di laluan orang buta. Takutlah kepada Allahmu. Akulah TUHAN. Jangan berlaku tidak adil dalam pengadilan, usah bersikap berat kepada orang miskin dan usah lebih menghormati kalangan yang besar dan berkuasa, melainkan mengadili sesama manusia secara benar. Jangan ke sana ke mari menyebar fitnah dalam kalangan umat sebangsamu, namun begitu jangan berdiam diri sahaja tatkala nyawa jiranmu terancam. Akulah TUHAN. Jangan kamu membenci saudaramu dalam hatimu tetapi berikan teguran sesamamu secara berterus terang agar kamu tidak terbawa dosa kerana dia. Jangan membalas dendam ataupun berdendam kepada sesiapa antara umat sebangsamu, tetapi sebaliknya, kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Akulah TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami