Hakim-Hakim 7:16-21

Hakim-Hakim 7:16-21 AVB

Maka dia membahagikan tiga ratus orang itu kepada tiga pasukan dan kepada tangan mereka semua diberikannya sangkakala dan buyung kosong dengan jamung di dalamnya. Dia berkata kepada mereka, “Perhatikanlah aku dan ikut seperti yang aku lakukan. Apabila aku tiba di hujung perkhemahan itu, kamu mesti melakukan seperti yang aku lakukan. Apabila aku dan semua anggota pasukanku meniup sangkakala, kamu juga mesti meniup sangkakala di sekeliling perkhemahan itu, dan berseru, ‘Demi TUHAN dan demi Gideon!’ ” Lalu Gideon dan pasukan seratus orangnya tiba di hujung perkhemahan itu pada permulaan giliran kawalan tengah malam, ketika para pengawal baru sahaja ditempatkan. Lalu mereka meniup sangkakala sambil memecahkan buyung di tangan mereka. Ketiga-tiga pasukan itu pun meniup sangkakala, dan memecahkan buyung. Mereka memegang obor di tangan kiri dan sangkakala di tangan kanan untuk ditiup lalu berseru, “Pedang demi TUHAN dan demi Gideon!” Setiap warga berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kacau-bilaulah seluruh tentera musuh yang berteriak-teriak dan bertempiaran melarikan diri.