Galatia 3:19-29
Galatia 3:19-29 AVB
Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara. Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu esa. Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah perbenaran didapati melalui hukum itu. Namun demikian, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Yesus Kristus dapat diberikan kepada mereka yang percaya. Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak. Oleh itu, hukum Taurat ialah guru kita, yang membawa kita kepada Kristus untuk diperbenar oleh iman. Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat. Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus. Dan semua antara kamu yang telah dibaptiskan dalam Kristus telah meliputi dirimu dengan Kristus. Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus. Dan jika kamu milik Kristus, kamu ialah benih Abraham, dan menjadi waris menurut janji itu.

