Keluaran 2:11-15

Keluaran 2:11-15 AVB

Pada suatu hari, apabila Musa sudah besar, dia keluar untuk bersama-sama para saudara sebangsanya dan melihat bagaimana mereka menanggung beban sebagai buruh paksa. Dia melihat bagaimana seorang warga Mesir memukuli seorang Ibrani, iaitu orang sebangsanya. Setelah menoleh ke sana ke mari, dia mendapati tiada seorang pun di situ, lalu dia membunuh orang Mesir itu dan kemudian menyembunyikan mayat orang itu di dalam pasir. Ketika dia keluar lagi keesokan harinya, dia melihat dua orang Ibrani sedang berkelahi. Bertanyalah dia kepada orang yang bersalah, “Mengapakah kamu memukul rakan sebangsa denganmu?” Jawab orang itu, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu berniat membunuhku sebagaimana kamu membunuh warga Mesir itu?” Maka Musa menjadi takut dan berfikir, “Pasti kejadian itu sudah diketahui orang.” Firaun yang terdengar hal itu pun berikhtiar untuk membunuh Musa, namun Musa sempat melarikan diri daripada Firaun dan tiba di Tanah Midian. Lalu tinggallah dia dekat sebuah perigi di tempat itu.