Ester 2:3-4, 12-17

Ester 2:12-17 AVB

Setelah dirawat dua belas bulan lamanya, selaras dengan peraturan bagi para perempuan, iaitu tempoh perawatan yang harus dilalui: enam bulan dengan minyak damar wangi dan enam bulan dengan pelbagai salap serta wangi-wangian, maka setiap gadis mendapat giliran untuk masuk menghadap Raja Ahasyweros. Ketika tiba giliran seorang gadis masuk menghadap raja, beginilah aturannya: Apa-apa sahaja yang dimintanya haruslah diberikan kepadanya untuk dibawa dari balai perempuan ke dalam istana raja. Pada waktu petang, dia akan masuk, lalu pada pagi esoknya dia akan kembali ke balai perempuan kedua di bawah pengawasan Saasgas, sida raja yang bertugas menjaga para gundik baginda. Selanjutnya gadis itu tidak akan masuk menghadap raja lagi kecuali jika raja suka kepadanya dan dia dipanggil dengan disebutkan namanya. Ketika tiba giliran Ester anak Abihail, iaitu bapa saudara Mordekhai yang mengambil Ester sebagai anak angkatnya untuk masuk menghadap raja, dia tidak meminta apa-apa selain yang dianjurkan oleh Hegai, sida raja yang bertugas menjaga para perempuan. Maka Ester menimbulkan rasa sayang di mata semua orang yang melihat dia. Kemudian Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana kerajaannya pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, pada tahun ketujuh pemerintahan baginda. Raja mencintai Ester melebihi semua perempuan yang lain dan baginda raja berkenan serta menyayanginya melebihi semua anak dara yang lain, lantas baginda mengenakan mahkota diraja di atas kepalanya dan melantik dia sebagai ratu untuk menggantikan Wasti.