Pengkhutbah 2:17-26

Pengkhutbah 2:17-26 AVB

Maka aku membenci kehidupan kerana kerja yang kubuat di bawah matahari perkara yang teruk kepadaku, segala-galanya hanya kesia-siaan laksana usaha menjaring angin. Ya, aku membenci segala usaha jerih payahku yang dilakukan di bawah matahari kerana aku tetap terpaksa meninggalkannya kepada orang yang datang sesudah aku. Siapa yang tahu sama ada orang itu bijaksana atau bodoh? Namun begitu, dia tetap menguasai segala yang kuusahakan dengan jerih payah dan bijaksana di bawah matahari itu. Maka hanya sia-sia juga semuanya. Lalu aku berubah hati dan berputus asa dengan segala usahaku berpenat lelah di bawah matahari. Ada orang yang berjerih payah dengan bijaksana, ilmu pengetahuan dan kemahiran akhirnya terpaksa menyerahkan hasilnya kepada orang yang tidak berpenat lelah untuk hasil itu. Hal ini pun kesia-siaan dan amat malang. Faedah apa yang diperoleh manusia hasil segala usahanya sepenuh hati serta dengan berpenat lelah di bawah matahari? Sepanjang usianya, hidupnya penuh dengan kesedihan dan pekerjaannya begitu teruk, malahan pada malam hari pun ketenteraman tidak mengunjunginya. Itu juga kesia-siaan. Bukankah tiada yang lebih baik bagi manusia kecuali makan dan minum dan bersenang-lenang hasil usahanya berpenat lelah? Aku sedar betapa rahmat itu juga daripada tangan Allah. Sebabnya siapalah yang dapat makan dan merasai kenikmatan itu tanpa rahmat-Nya? Sebabnya kepada orang yang Dia berkenan dalam hati-Nya, Allah menganugerahkan hikmah, ilmu pengetahuan dan kegembiraan, tetapi kepada pendosa Dia serahkan tugas untuk mengumpul dan menimbunkan hasil yang kelak terpaksa diberikannya kepada orang yang diperkenan Allah. Maka ini juga kesia-siaan dan usaha menjaring angin.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami