Ulangan 5:1-11

Ulangan 5:1-11 AVB

Musa memanggil semua orang Israel dan berkata kepada mereka, “Dengarlah, wahai Israel, segala kanun dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Pelajarilah semua itu dan lakukanlah dengan setia. TUHAN, Allah kita, telah mengikat perjanjian dengan kita di Horeb. Bukan dengan nenek moyang kita TUHAN mengikat perjanjian ini, melainkan dengan kita, iaitu kita semua di sini yang masih hidup pada hari ini. Denganmu TUHAN bicara berhadap-hadapan di gunung, dari tengah-tengah api. (Pada waktu itu aku berdiri di antara TUHAN dengan kamu untuk memberitahukan firman TUHAN kepadamu, kerana kamu takut kepada api itu dan kamu tidak naik ke gunung itu.) Dia berfirman, ‘Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku. Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, Allah yang cemburu. Aku membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat daripada kalangan yang membenci Aku. Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku. Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu, dengan sembarangan, kerana TUHAN akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami