Daniel 6:10-23

Daniel 6:10-23 AVB

Apabila Daniel mengetahui bahawa surat itu telah ditandatangani, masuklah dia ke rumahnya. Dalam bilik atasnya terdapat jendela-jendela yang terbuka menghadap Yerusalem. Tiga kali sehari dia bertelut, berdoa, dan mengucap syukur kepada Allahnya, seperti yang biasa dilakukannya selama ini. Kemudian lelaki-lelaki itu datang bersama-sama dan mendapati Daniel sedang memanjatkan doa dan permohonan kepada Allahnya. Setelah itu, mereka menghadap raja dan berbicara kepadanya mengenai titah larangan raja, “Bukankah tuanku telah menandatangani titah larangan supaya setiap orang yang memohonkan sesuatu dalam tiga puluh hari ini kepada tuhan atau manusia mana-mana pun selain Tuanku Raja harus dihumban ke dalam gua singa?” Jawab raja, “Hal itu benar selaras dengan hukum yang berkuat kuasa atas orang Media dan orang Parsi yang tidak dapat dibatalkan.” Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah seorang buangan daripada bani Yehuda, tidak mengendahkan Tuanku Raja atau titah larangan yang telah ditandatangani tuanku. Tiga kali sehari dia memanjatkan doa.” Apabila raja mendengar hal itu, dia berasa sangat susah. Dia membulatkan hati untuk melepaskan Daniel. Sampai matahari terbenam dia masih berupaya untuk menyelamatkannya. Kemudian lelaki-lelaki itu datang lagi bersama-sama kepada raja. Mereka berkata kepada raja, “Ingatlah, ya Raja, bahawa menurut hukum orang Media dan orang Parsi setiap titah larangan atau ketetapan yang dibuat raja tidak dapat diubah lagi.” Maka raja memberikan perintah supaya Daniel dibawa dan dihumban ke dalam gua singa. Raja berkata kepada Daniel, “Semoga tuhan kamu yang selalu kamu sembah kelak melepaskan engkau!” Lalu sebuah batu dibawa dan diletakkan di mulut gua itu. Raja memateraikan batu itu dengan cincin materainya dan dengan cincin para pembesarnya, supaya tidak ada yang dapat mengubah keputusan dalam hal Daniel itu. Setelah itu, raja pulang ke istananya dan ia berpuasa pada malam itu. Para penghibur tidak dibawa masuk kepadanya dan ia tidak dapat tidur. Kemudian raja bangun pada waktu fajar menyingsing dan pergi dengan segera ke gua singa. Setelah sampai dekat gua itu, berserulah dia kepada Daniel dengan suara yang penuh kesayuan. Kata raja kepada Daniel, “Daniel, hamba kepada Allah yang hidup, apakah Allahmu yang selalu kausembah itu sanggup melepaskan engkau daripada singa-singa itu?” Pada waktu itu Daniel berbicara kepada raja, “Semoga Raja hidup selama-lamanya! Allah yang hamba sembah telah mengutus malaikat-Nya untuk mengatupkan mulut singa-singa ini sehingga tidak dapat menghancurkan hamba, kerana hamba didapati tidak bersalah di hadapan-Nya. Di hadapan Tuanku Raja juga hamba tidak melakukan kejahatan.” Maka raja menjadi sangat gembira dan memberikan perintah supaya Daniel ditarik keluar dari gua itu. Lalu Daniel ditarik keluar dari gua, dan sesuatu luka pun tidak didapati padanya, kerana dia beriman kepada Allahnya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami