Kisah Para Rasul 17:22-34

Kisah Para Rasul 17:22-34 AVB

Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, “Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan. Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara. Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia, dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya. Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup. Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita. ‘Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.’ Sebagaimana kata penyair bangsamu, ‘Kita ialah anak-Nya.’ Oleh sebab kita keturunan Allah, tidak patut kita sangka keilahian-Nya seperti patung yang serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia. Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat; kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.” Apabila mendengar “membangkitkan-Nya daripada kematian”, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, “Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.” Selepas itu, Paulus keluar daripada perhimpunan itu. Namun demikian, ada beberapa orang yang menjadi pengikut Paulus dan percaya akan kata-katanya; di antaranya ialah Dionisius anggota Areopagus, dan seorang wanita bernama Damaris, serta beberapa orang lagi.