Kisah Para Rasul 17:22-28
Kisah Para Rasul 17:22-28 AVB
Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, “Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan. Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara. Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia, dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya. Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup. Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita. ‘Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.’ Sebagaimana kata penyair bangsamu, ‘Kita ialah anak-Nya.’

