2 Korintus 12:1-10

2 Korintus 12:1-10 AVB

Tentu sekali tiada faedahnya aku berbangga. Aku akan menceritakan penglihatan dan wahyu yang kudapati daripada Tuhan. Aku mengenal seorang dalam Kristus. Empat belas tahun lalu, orang itu dibawa ke langit yang ketiga (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya). Aku tahu orang itu (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya) dibawa ke Firdaus lalu mendengar kata-kata yang tidak terperikan, yang tidak boleh dituturkan oleh manusia. Aku berbangga dengan orang itu, tetapi aku tidak akan berbangga dengan diriku, kecuali kelemahan-kelemahanku. Walaupun jikanya aku ingin berbangga, aku bukanlah bodoh, kerana aku menyatakan yang benar. Tetapi aku tidak akan melakukannya, supaya jangan ada orang yang menilaiku lebih tinggi daripada yang dilihatnya tentangku dan yang didengarnya daripadaku. Supaya aku tidak terasa terlalu tinggi kerana begitu dilimpahi wahyu, aku telah diberi duri dalam daging, utusan Iblis, untuk menyakitiku. Sudah tiga kali aku memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan daripadaku. Tetapi firman-Nya, “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.” Oleh itu, aku paling rela berbangga tentang kelemahan-kelemahanku, supaya kuasa Kristus menaungiku. Oleh itu, aku rela menanggung pelbagai kelemahan, celaan, kesempitan, penganiayaan dan kesusahan untuk Kristus; kerana apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat.