2 Tawarikh 20:15-22

2 Tawarikh 20:15-22 AVB

Dia berkata, “Dengarlah, wahai semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, juga Tuanku Raja Yosafat! Beginilah firman TUHAN kepadamu, ‘Jangan takut dan jangan kecut hati dengan pasukan besar itu, kerana bukan kamu yang akan berperang melainkan Allah. Esok, turunlah dan datangi mereka. Ketahuilah, mereka akan naik melalui pendakian Zis. Kamu akan menemukan mereka di hujung lembah, di Gurun Yeruel. Kamu tidak usah berperang dalam pertempuran ini. Berdirilah tegak di tempatmu dan lihatlah kemenangan daripada TUHAN yang menyertai kamu, wahai orang Yehuda dan Yerusalem. Jangan takut dan jangan kecut hati! Majulah esok dan hadapi mereka, TUHAN akan menyertai kamu.’ ” Yosafat membongkok dengan muka sampai ke tanah. Semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem pun bersujud di hadapan TUHAN dan menyembah TUHAN. Lalu bani Lewi daripada bani Kehat dan bani Korah bangkit untuk memuji TUHAN, Allah Israel, dengan suara yang sangat nyaring. Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu pergi ke kawasan gersang Tekoa. Ketika mereka hendak pergi, berdirilah Yosafat dan berkata, “Dengarlah aku, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem! Percayalah kepada TUHAN, Allahmu, maka kamu akan tetap teguh. Percayalah kepada para nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, dia mengangkat kalangan yang akan menyanyi bagi TUHAN dan memuji Dia dengan pakaian suci sambil berjalan di depan kalangan yang bersenjata; demikianlah nyanyian mereka, “Mengucap syukurlah kepada TUHAN, kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Pada waktu mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan puji-pujian, TUHAN mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 2 Tawarikh 20:15-22

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami