1 Samuel 4:12-22

1 Samuel 4:12-22 AVB

Pada hari itu juga ada seorang Benyamin yang lari meninggalkan barisan perang menuju Silo. Pakaiannya koyak-koyak dan ada debu tanah di atas kepalanya. Ketika tibanya di Silo, Eli yang sedang menunggu-nunggu itu duduk di sebuah kerusi di tepi jalan. Hatinya gementar kerana tabut Allah itu. Orang itu masuk ke dalam kota dan menyampaikan berita tentang apa yang terjadi. Maka berteriaklah seluruh penduduk kota. Apabila terdengar olehnya bunyi jeritan itu, Eli pun bertanya, “Kekecohan apakah itu?” Orang itu segera datang dan memberitahukan apa yang terjadi kepada Eli. Pada waktu itu umur Eli sembilan puluh delapan tahun dan matanya sudah kabur sehingga dia tidak dapat melihat lagi. Kata orang itu kepada Eli, “Aku baru sahaja datang dari medan perang. Hari ini aku lari meninggalkan barisan hadapan.” Tanya Eli, “Bagaimanakah keadaan peperangan itu, wahai anakku?” Jawab pembawa khabar itu, “Orang Israel kalah teruk dan lari dari hadapan orang Filistin, bahkan ramai warga kita yang terkorban. Kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas, mati juga dan tabut Allah telah dirampas oleh musuh.” Apabila dikhabarkan fasal tabut perjanjian Allah itu, jatuhlah Eli telentang dari kerusi di sebelah pintu gerbang, batang lehernya patah lalu matilah dia yang gemuk dan sudah begitu lanjut usia. Selama empat puluh tahun dia memerintah sebagai hakim kepada orang Israel. Pada waktu itu, menantu perempuannya, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan hampir bersalin. Apabila perempuan itu mendengar khabar tentang tabut Allah yang telah dirampas dan tentang mertuanya serta suaminya yang telah meninggal, dia pun berlutut lalu melahirkan anaknya, kerana tiba-tiba dia dilanda rasa sakit bersalin. Pada waktu ajalnya mendekat, berkatalah perempuan-perempuan yang berdiri di sisinya, “Jangan takut, kerana engkau telah melahirkan seorang anak lelaki.” Namun demikian, dia tidak menjawab ataupun memberi perhatian. Lalu anak itu dinamainya Ikabod. Katanya, “Kemuliaan sudah hilang dari Israel” — kerana tabut Allah telah dirampas dan kerana mertua serta suaminya itu. Katanya, “Sudah hilang kemuliaan daripada Israel, kerana tabut Allah telah dirampas.”