1 Samuel 23:14-23

1 Samuel 23:14-23 AVB

Daud tinggal di gurun, di dalam kubu-kubu pertahanan. Dia tinggal di pergunungan, di Gurun Zif. Setiap hari Saul mencari dia, tetapi Allah tidak menyerahkan Daud ke dalam tangannya. Daud menyedari bahawa Saul keluar untuk mengancam nyawanya. Ketika Daud berada di Gurun Zif, di Koresa, Yonatan anak Saul bergegas pergi mendapatkan Daud di Koresa lalu dia menguatkan keyakinan Daud kepada Allah. Kata Yonatan kepadanya, “Jangan takut. Tangan Saul, ayahku, tidak akan dapat menangkap kamu. Engkau akan menjadi raja atas orang Israel dan aku akan menjadi orang kedua di bawahmu. Saul, ayahku, tahu juga tentang hal itu.” Lalu kedua-duanya mengikat perjanjian di hadapan TUHAN. Setelah itu, Daud tetap tinggal di Koresa, manakala Yonatan pulang ke rumahnya. Namun demikian, rupanya orang Zif datang menghadap Saul di Gibea, kata mereka, “Daud menyembunyikan diri antara kami. Dia ada di kubu-kubu pertahanan di Koresa, di Bukit Hakhila, sebelah selatan gurun. Sekarang, ya Raja, bila-bila sahaja tuanku berkehendak untuk datang, silakan datang. Memang menjadi tanggungjawab kami untuk menyerahkan dia ke dalam tangan tuanku.” Kata Saul, “Semoga TUHAN memberkatimu, kerana kamu menunjukkan rasa sayangmu kepadaku. Sekarang pergilah, pastikan lagi. Pastikan serta amatilah tempat dia berada dan siapakah yang datang menemuinya di sana. Kononnya dia sangat cerdik. Amatilah dan kenal pasti segala tempat persembunyiannya. Setelah itu, kembalilah kepadaku dengan suatu kepastian, maka aku akan pergi bersama-sama kamu. Jika dia ada di negeri ini, akan kucari dia antara segala kaum orang Yehuda.”