1 Samuel 16:14-23

1 Samuel 16:14-23 AVB

Pada waktu itu, Roh TUHAN telah menjauhi Saul, dan dia diganggu oleh roh jahat yang diizinkan TUHAN. Para pegawai Saul berkata kepadanya, “Sesungguhnya, ada roh jahat yang diizinkan Allah mengganggu tuanku. Hendaklah tuanku memerintahkan hamba-hambamu yang ada di hadapan tuanku ini untuk mencari orang yang pandai memetik kecapi. Nanti, apabila roh jahat yang diizinkan Allah itu datang kepada tuanku, dia harus memetik kecapi sehingga tuanku berasa nyaman.” Kata Saul kepada para pegawainya, “Carikanlah bagiku seorang yang dapat memetik kecapi dengan baik. Bawalah dia menghadap aku.” Seorang daripada antara orang muda itu berkata, “Sesungguhnya, aku pernah melihat seorang anak Isai, orang Betlehem, yang pandai memetik kecapi. Dia seorang kesateria yang gagah perkasa, dan juga seorang pejuang. Selain itu, dia pandai berbicara dan perawakannya bagus dan TUHAN menyertainya.” Maka Saul mengirim beberapa orang utusan kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang suka menggembala kawanan domba itu, menghadap aku.” Kemudian Isai mengambil seekor keldai. Dimuatinya keldai itu dengan roti, sebuah kantung kulit berisi air anggur, dan seekor anak kambing, lalu dikirimnya semua itu kepada Saul dengan perantaraan Daud, anaknya. Daud pun datang menghadap Saul dan berkhidmat kepadanya. Saul sangat mengasihi Daud, sehingga dia menjadikan Daud pembawa senjatanya. Lalu Saul menyuruh orang untuk menemui Isai dan berkata, “Biarlah Daud tetap berkhidmat kepadaku, kerana aku menyukainya.” Jadi, apabila roh jahat yang diizinkan Allah itu datang kepada Saul, maka Daud akan mengambil kecapi dan memetiknya. Setelah itu, Saul akan berasa lega dan nyaman, lalu roh jahat itu pun menjauhinya.