1 Korintus 12:1-14

1 Korintus 12:1-14 AVB

Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani: Kamu tahu bahawa dahulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terperdaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu. Oleh itu, aku menyatakan kepadamu, tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: “Yesus terkutuk” dan tiada siapa pun dapat mengakui, “Yesus ialah Tuhan,” kecuali di bawah bimbingan Roh Kudus. Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh. Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan. Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya. Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua. Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan. Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama. Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu. Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Kuduslah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya. Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus. Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh — baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka — dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama. Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami