YouVersion Logo
Search Icon

LUKAS 23:32-56

LUKAS 23:32-56 BM

Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. Apabila tiba di tempat yang disebut “Tengkorak,” mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu - seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.” Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!” Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.” Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, “Memang Dia tidak bersalah!” Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal. Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu. Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu. Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Dia menurunkan jenazah Yesus dari salib, lalu membalutnya dengan kain linen. Setelah itu dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur yang dipahat pada sebuah bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan. Hari itu hari Jumaat dan hari Sabat hampir bermula. Wanita-wanita dari Galilea yang datang dengan Yesus, mengikuti Yusuf. Mereka nampak kubur itu dan melihat bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat.

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy