YOHANES 9:1-11

YOHANES 9:1-11 BM

Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?” Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.”

YouVersion 使用 cookie 来个性化你的体验。使用我们的网站,即表示你同意我们根据我们的隐私政策来使用 cookie。