Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi.
Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah. Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati. Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!”
“Hai maut, di manakah kemenanganmu?
Hai maut, di manakah sengatmu?”
Sengat maut itu dosa, dan dosa mendapat kuasa daripada Taurat. Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita!
Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan kukuh. Hendaklah kamu rajin bekerja untuk Tuhan, kerana kamu tahu bahawa semua yang kamu lakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia.