BILANGAN 32:1-5 - Compare All Versions

BILANGAN 32:1-5 BM (Alkitab Berita Baik)

Suku Ruben dan suku Gad mempunyai sangat banyak ternakan. Apabila mereka melihat betapa baiknya tanah Yaezer dan Gilead untuk penternakan, mereka pergi menghadap Musa, Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain. Suku Ruben dan suku Gad berkata, “Kota-kota yang diduduki umat kita dengan pertolongan TUHAN, sangat baik untuk penternakan, iaitu kota Atarot, Dibon, Yaezer, Nimra, Hesybon, Eleale, Sebam, Nebo, dan Beon. Oleh sebab kami mempunyai sangat banyak ternakan, berikanlah tanah itu kepada kami sebagai milik kami. Janganlah suruh kami menyeberang Sungai Yordan dan tinggal di sana.”

BILANGAN 32:1-5 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Bani Ruben dan bani Gad mempunyai jumlah haiwan ternakan yang sangat besar dan apabila mereka melihat Tanah Yaezer dan Tanah Gilead, mereka menilai bahawa tempat itu baik untuk ternakan. Maka bani Gad dan bani Ruben datang kepada Musa, Imam Eleazar, serta para pemimpin umat lalu berkata, “Atarot, Dibon, Yaezer, Nimra, Hesbon, Eleale, Sebam, Nebo, dan Beon, iaitu tanah yang ditaklukkan TUHAN di hadapan umat Israel, ialah tanah yang baik untuk ternakan. Hamba-hambamu ini mempunyai banyak sekali ternakan.” Kata mereka lagi, “Jika tuan berkenan, berikanlah kiranya tanah ini kepada hamba-hambamu ini sebagai milik. Jangan bawa kami ke seberang Sungai Yordan.”