BILANGAN 17:1-11 - Compare All Versions
BILANGAN 17:1-11 BM (Alkitab Berita Baik)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah umat Israel memberi engkau dua belas batang tongkat; tongkat itu harus diserahkan oleh setiap pemimpin suku. Tulislah nama setiap pemimpin pada tongkatnya, lalu tulislah nama Harun pada tongkat yang mewakili suku Lewi. Tiap-tiap pemimpin suku harus ada sebatang tongkat. Bawalah tongkat-tongkat itu ke dalam Khemah-Ku, dan letakkan semuanya di depan Tabut Perjanjian, tempat Aku bertemu dengan engkau. Tongkat orang yang Kupilih akan bertunas. Dengan demikian Aku akan menghentikan sungutan orang Israel yang tidak putus-putus terhadap engkau.” Oleh itu Musa memberitahu umat Israel tentang perkara itu. Kemudian tiap-tiap pemimpin mereka memberikan sebatang tongkat kepada Musa, iaitu satu batang daripada tiap-tiap suku. Kesemuanya dua belas batang, termasuk tongkat Harun. Setelah itu Musa meletakkan semua tongkat itu di dalam Khemah TUHAN, di depan Tabut Perjanjian. Keesokan harinya, ketika Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN, dia melihat bahawa tongkat Harun, tongkat yang mewakili suku Lewi, sudah bertunas. Tongkat itu sudah berkudup, berbunga, dan menghasilkan beberapa buah badam yang tua. Musa mengambil semua tongkat itu dan menunjukkannya kepada umat Israel. Mereka nampak apa yang sudah berlaku, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Letakkanlah semula tongkat Harun di depan Tabut Perjanjian. Tongkat itu harus disimpan sebagai amaran kepada orang Israel yang suka memberontak, bahawa mereka akan mati jika mereka tidak berhenti bersungut-sungut.” Musa melakukan apa yang diperintahkan TUHAN.
BILANGAN 17:1-11 AVB (Alkitab Versi Borneo)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Berbicaralah kepada orang Israel dan ambillah tongkat daripada setiap orang daripada pemimpin yakni satu tongkat dari setiap pemimpin, mewakili setiap suku kaum, iaitu sejumlah dua belas batang tongkat. Tuliskanlah nama para pemimpin itu pada tongkat masing-masing. Nama Harun harus kamu tuliskan pada tongkat bani Lewi, kerana satu tongkat harus mewakili setiap ketua suku kaum. Letakkanlah semua tongkat itu dalam Khemah Pertemuan, di hadapan tabut loh hukum, tempat Aku menemui kamu. Nanti, sesiapa yang akan Kupilih, tongkatnya akan bertunas. Demikianlah Aku akan meredakan segala rungutan yang dilontarkan oleh orang Israel terhadap kamu.” Maka berbicaralah Musa kepada orang Israel, lalu semua pemimpin mereka memberikan tongkat masing-masing kepadanya. Setiap pemimpin memberikan sebatang tongkat menurut suku kaum mereka, maka terdapat sejumlah dua belas batang tongkat. Tongkat Harun pun ada antara tongkat-tongkat itu. Musa meletakkan tongkat-tongkat itu di hadapan TUHAN, di dalam khemah kesaksian. Keesokan harinya ketika Musa masuk ke dalam khemah kesaksian, tampak tongkat Harun yang mewakili bani Lewi telah bertunas. Tongkat itu pun mengeluarkan kuncup, berbunga, dan menghasilkan buah badam. Kemudian Musa membawa semua tongkat itu keluar dari hadirat TUHAN, ke hadapan seluruh orang Israel. Mereka melihat tongkat-tongkat itu, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing. Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Kembalikanlah tongkat Harun ke hadapan tabut loh hukum untuk disimpan sebagai tanda bagi orang derhaka itu. Dengan begitu kamu menamatkan segala rungutan mereka kepada-Ku, supaya jangan mereka mati.” Maka Musa pun melaksanakannya. Dilakukannyalah seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya itu.