MATIUS 10:24-42
MATIUS 10:24-42 Alkitab Berita Baik (BM)
Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Seorang murid haruslah puas hati menjadi seperti gurunya, dan seorang hamba haruslah puas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga diberikan nama Beelzebul, tentu anggota keluarganya akan diberikan nama yang lebih buruk lagi!” “Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga. Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku di syurga.” “Jangan menyangka bahawa Aku membawa kedamaian ke dunia ini. Aku tidak membawa kedamaian, tetapi pertentangan. Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka. Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Demikian juga sesiapa yang lebih mengasihi anak lelaki atau anak perempuannya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya dan mengikut Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati.” “Sesiapa yang menyambut kamu, menyambut Aku juga; dan sesiapa yang menyambut Aku, menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima pahala seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang baik kerana orang itu baik, akan menerima pahala seorang baik. Ingatlah! Sesiapa yang memberikan minuman walaupun hanya air sejuk kepada salah seorang pengikut-Ku yang paling hina kerana dia pengikut-Ku, akan menerima pahalanya.”
MATIUS 10:24-42 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka tiadalah murid itu tŭrlebih deripada Gurunya, dan tiada pula hamba itu tŭrlebih deripada tuannya. Maka chukoplah kiranya bagie murid itu, jikalau bŭrsamaan dŭngan gurunya, dan dŭmkian pula hamba itu pun dŭngan tuannya; jikalau orang mŭngatakan tuan yang ampunya rumah itu Bilzebab, istemewa pula orang isi rumahnya itu? Maka sŭbab itu, bahwa janganlah kamu takot akan marika itu, kŭrna sasuatu pun tiada yang tŭrtutop itu, mŭlainkan tŭrbuka juga, dan yang tŭrsŭmbunyi itu pun akan nyata. Maka barang apa yang kukatakan padamu dalam gŭlap, maka handaklah kamu katakan dalam trang; dan barang yang kadŭngaran kŭtlingamu, handaklah kamu mashorkan itu deri atas rumah. Dan janganlah kamu takot kapada orang yang mŭmbunoh tuboh, tŭtapi tiada kwasa iya mŭmbunoh nyawa; maka tŭrutamalah kamu takoti akan yang bŭrkwasa mŭmbinasakan nyawa dan tuboh kaduanya kadalam nŭraka. Maka bukankah dijual orang burong pipet itu dua ekor sa’duit? Bahwa sa’ekor jua pun tiada bulih jatoh katanah, jikalau tiada dŭngan kahandak ayahmu. Lagi pun sagala rambut kapalamu ada dŭngan bilangannya. Maka sŭbab itu, janganlah kamu takot, adapun kamu ini tŭrlebih indahnya deripada burong pipet yang banyak itu. Maka sŭbab itu, barang siapa yang mŭngaku akan daku dihadapan manusia ini, bahwa aku pun mŭngakulah kŭlak akan dia dihadapan ayahku yang ada dishorga. Tŭtapi barang siapa yang mŭnyangkal akan daku dihadapan manusia ini, maka aku pun akan mŭnyangkal dia kŭlak dihadapan ayahku yang ada dishorga. Maka janganlah kamu kirakan, bahwa aku datang ini mŭmbawa damie ka’atas bumi, aku datang bukannya mŭmbawa damie, mŭlainkan pŭdang. Kŭrna kŭdatanganku ini mŭngadu anak dŭngan bapanya, dan anak pŭrampuan dŭngan ibunya, dan mŭnantu pŭrampuan dŭngan mŭntua pŭrampuannya. Orang yang sa’rumahnya juga akan mŭnjadi musohnya. Maka barang siapa yang mŭngasihi bapanya, atau ibunya tŭrlebih deripadaku, bahwa iya itu tiadalah layak padaku, dan barang siapa yang mŭngasihi anaknya laki laki atau pŭrampuan tŭrlebih deripadaku, maka iya itupun tiadalah layak padaku. Dan barang siapa yang tiada mŭmikol salibnya, lalu mŭngikot aku, maka iya itupun tiadalah layak padaku. Maka barang siapa yang mŭmliharakan dirinya, iya akan mŭnghilangkan, dan barang siapa yang mŭnghilangkan dirinya ulih sŭbab aku, maka iya itulah akan mŭndapat dia pula. ¶ Maka barang siapa yang mŭnyambut kamu, sŭrasa iya mŭnyambut aku, dan barang siapa mŭnyambut aku, sŭrasa iya mŭnyambut akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Barang siapa yang mŭnyambut nabi, sŭbab bŭrnama nabi, maka orang itu akan mŭndapat fahala nabi; dan barang siapa yang mŭnyambut orang bŭnar, sŭbab bŭrnama bŭnar, maka orang itu akan mŭndapat fahala orang bŭnar. Dan barang siapa yang mŭmbri minum ayer sŭjuk sa’chawan sahja kapada barang siapa yang tŭrkŭchil skali pun deri orang ini, sŭbab iya bŭrnama murid, maka sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, bahwa skali kali tiada akan hilang fahalanya.
MATIUS 10:24-42 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya. Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!” “Jangan takut akan manusia. Yang tersembunyi akan dinyatakan; yang dirahsiakan akan didedahkan. Apa yang Kukatakan kepadamu secara rahsia, sampaikanlah secara terang-terang. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah dari atas bumbung. Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Dia yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka. Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu syiling? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu. Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga. Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan manusia, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.” “Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang. Dengan kedatangan-Ku, ‘anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya. Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.’ Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi murid-Ku akan mendapat hidupnya.” “Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sesiapa yang menyambut seorang nabi kerana dia seorang nabi, akan menerima ganjaran seorang nabi. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberikan minum walau hanya secawan air sejuk kepada seorang murid-Ku yang paling rendah pun kerana dia murid-Ku, pasti akan mendapat ganjarannya.”