IBRANI 7:1-24
IBRANI 7:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Imam Melkisedek ialah raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Ketika Abraham balik dari peperangan mengalahkan empat orang raja, Melkisedek menjumpainya dan memberkatinya. Lalu Abraham memberi Melkisedek sepersepuluh daripada segala apa yang dirampasnya. (Pertama sekali nama Melkisedek bermakna “Raja Keadilan.” Oleh sebab dia raja Salem, namanya juga bermakna “Raja Kesejahteraan.”) Tidak ada catatan tentang ibu bapa Melkisedek ataupun nenek moyangnya. Tidak ada catatan tentang kelahirannya ataupun kematiannya. Dia seperti Anak Allah; dia menjadi imam selama-lamanya. Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek. Abraham, bapa bangsa kita, memberi dia sepersepuluh daripada segala yang didapatinya daripada peperangan itu. Menurut hukum Taurat, imam-imam keturunan suku Lewi harus memungut sepersepuluh daripada pendapatan umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka sendiri, walaupun mereka juga keturunan Abraham. Melkisedek bukan keturunan suku Lewi, tetapi dia menerima sepersepuluh daripada apa yang sudah diterima oleh Abraham, dan memberkati yang telah menerima janji Allah. Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati. Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup. Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.) Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya. Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun. Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah. Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam. Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam. Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek. Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan. Di dalam Alkitab tertulis, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.” Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna. Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah. Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu. Tetapi Yesus diangkat menjadi imam dengan sumpah, ketika Allah berfirman kepada-Nya, “Tuhan sudah bersumpah, dan tidak akan mengubah fikiran, ‘Engkau akan menjadi imam selama-lamanya.’ ” Dengan sumpah itu, Yesus menjadi jaminan suatu perjanjian yang lebih baik. Ada satu hal lagi: imam-imam lain itu banyak bilangannya kerana mereka mati dan tidak dapat meneruskan tugas. Tetapi Yesus hidup selama-lamanya dan tugas-Nya sebagai imam tidak beralih kepada orang lain.
IBRANI 7:1-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN Malkussedik itu raja nŭgri Salem, iya itu imam Allah yang maha tinggi, yang tŭlah bŭrtŭmu, tŭtkala Ibrahim kŭmbali deripada mŭmbunoh sagala raja raja itu, sŭrta dibŭrkatinya. Dan kapada iyalah juga dibri ulih Ibrahim bahgian skalian spuloh asa; pŭrtama tama, arti namanya itu raja bŭnar, dan kumdian deripada itu raja Salem pula, iya itu raja pŭrdamiean; Maka tiada iya bŭrbapa, dan tiada bŭribu, dan tiada pula bŭrkaturonan, atau baik pŭrmulaan harinya, baik kasudahan umornya; mŭlainkan iya dijadikan sa’olah olah spŭrti anak Allah; tŭtaplah iya mŭnjadi imam sŭntiasa. Maka skarang timbanglah bŭtapakah garangan bŭsarnya orang itu, maka kapadanyalah juga moyang Ibrahim itu tŭlah mŭmbayar spuloh asa dalam sagala rampasannya. Adapun sŭsungguhnya marika itu yang deripada anak anak Lewi itu, yang tŭlah bŭrulih pangkat imam, mŭndapat hukum mŭngambil hasil dalam spuloh asa deripada kaum kaum itu, mŭnurot hukum tauret, iya itu deripada saudara saudaranya, mŭskipun marika itu kluar deripada sŭlbi Ibrahim. Tŭtapi iya yang ampunya katuronan tiada dibilang deri pada marika itu, maka iya tŭlah mŭndapat hasil spuloh asa deripada Ibrahim, dan mŭmbri bŭrkat akan dia yang tŭlah bŭrulih sagala pŭrjanjian. Dŭngan tiadalah pŭrbantahan lagi, bahwasanya orang yang tŭrkŭchil itu dibŭrkati ulih orang yang tŭrbŭsar. Dan disini orang yang mati mŭnŭrima hasil spuloh asa, tŭtapi disana iya juga mŭnŭrima dia itu, maka kapadanyalah tŭlah disaksikan, bahwa iya ada hidop. Danlagi aku pun bulih bŭrkata, adapun Lewi itupun yang tŭlah mŭnŭrima hasil spuloh asa itu, maka iyapun tŭlah mŭmbayar hasil spuloh asa juga dalam Ibrahim. Kŭrna Lewi ada lagi dalam sŭlbi bapanya, tŭtkala Malkussedik bŭrtŭmu dŭngan dia itu. Sŭbab itu jikalau kiranya kŭsampornaan itu datangnya deripada pangkat imam katuronan Lewi itu, kŭrna dibawah itu orang Israil tŭlah bŭrulih hukum tauret, maka apakah gunanya imam lain bŭrbangkit pula spŭrti mŭrtabat Malkussedik itu, dan bukannya iya itu dinamai spŭrti mŭrtabat Harun? Kŭrna sŭbab bŭrubahlah pangkat imam itu, maka patutlah hukum tauret itu pun ditukar juga. Kŭrna iya derihal yang dikatakan sagala pŭrkara ini, iya itu adalah tŭrsandar kapada suku yang lain, yang tiada sa’orang pun bŭrkhodmat kapadanya ditŭmpat pŭrsŭmblihan itu. Kŭrna tŭlah nyatalah bahwa Tuhan kita itu tŭlah bŭrbangkit deripada suku Yahuda; maka derihal suku itulah satu pun tiada dikatakan ulih Musa deri hal pangkat imam. Maka tŭrlebih pula lagi kanyataannya, kŭrna spŭrti tauladan Malkussedik, bŭrbangkitlah pula imam yang lain, Yang tŭlah dijadikan, iya itu bukannya mŭnurot tauret deri hal hukum lahir, mŭlainkan iya itu mŭnurot kwasa hayat yang tiada bŭrkaputusan. Kŭrna Allah tŭlah bŭrsaksi katanya, Bahwa angkaulah sa’orang imam slama lamanya spŭrti mŭrtabat Malkussedik. Kŭrna sŭsungguhnya katolakkan hukum itu sudah ada bŭrjalan dahulu ulih sŭbab lŭmah adanya, dan korang gunanya. Kŭrna tiadalah hukum tauret itu mŭnyŭmpornakan barang suatu, akan tŭtapi kadatangan harap yang lagi baik itulah; maka dŭngan dialah kami mŭnghampiri Allah. Maka tambahan pula lagi Isa tŭlah dijadikan imam itu bukannya dŭngan tiada sumpah: Kŭrna sagala imam itu tŭlah dijadikan dŭngan tiada sumpah; tŭtapi iya ini dŭngan sumpah ulihnya yang tŭlah bŭrkata, Adapun Tuhan tŭlah bŭrsumpah, dan tiada iya akan mungkir, Bahwa angkaulah sa’orang imam hingga slama lamanya spŭrti mŭrtabat Malkussedik. Maka dŭngan dŭmkianlah prinya, bahwa Isa tŭlah mŭnjadi pŭngaku deri hal pŭrjanjian yang lagi baik itu. Maka sŭbŭnarnya banyak marika itu tŭlah mŭnjadi imam, sŭbab tiada bulih dibiarkan marika itu kŭkal deri kŭrna mati; Akan tŭtapi sŭbab dia ini slalu kŭkal, ada mŭmpunyai pangkat imam yang tiada bŭrubah ubah
IBRANI 7:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Melkisedek ini raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Dia telah bertemu dengan Abraham yang dalam perjalanan pulang setelah menewaskan raja-raja, lalu dia memberkati Abraham. Kepadanya juga Abraham menyerahkan sepersepuluh daripada segala yang dibawanya. Melkisedek mula-mula diterjemahkan sebagai “raja perbenaran”; kemudian dia dipanggil juga sebagai “raja Salem”, bermakna “raja kesejahteraan.” Dia tidak mempunyai ibu bapa, tidak bersalasilah, tiada tarikh permulaan atau penghabisan hayatnya, tetapi seperti Anak Allah, dia terus-menerus menjadi imam. Sekarang fikirkanlah betapa besarnya orang itu, hinggakan moyang kita Abraham menyerahkan kepadanya sepersepuluh daripada rampasan perangnya. Keturunan Lewi yang menerima jawatan imam dikehendaki memungut sepersepuluh hasil daripada kaum itu menurut hukum Taurat, iaitu daripada saudara-saudara mereka, walaupun daripada benih Abraham. Tetapi seorang yang bukan daripada keturunan mereka telah menerima bayaran sepersepuluh hasil daripada Abraham dan telah memberkati Abraham, penerima janji-janji Allah. Tidak boleh dinafikan bahawa orang yang lebih rendah kedudukannya diberkati oleh orang yang lebih tinggi. Di sini manusia biasa yang akan mati menerima bayaran sepersepuluh hasil, tetapi di sana dia menerimanya, yang telah disaksikan hidup berterusan. Lewi yang menerima bayaran sepersepuluh hasil pun boleh dikatakan membayarnya melalui Abraham, kerana dia masih dalam sulbi moyangnya apabila Melkisedek berjumpa dengannya. Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun? Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat. Dia yang disebut berkaitan segala ini datang daripada suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di mazbah. Jelas bahawa Tuhan kita keturunan Yehuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam. Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi, yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan. Tentang Dia, telah disaksikan: “Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.” Perintah dahulu telah terbatal disebabkan lemah dan tidak berguna, kerana hukum Taurat tidak menyempurnakan apa-apa pun. Di samping itu, telah dibawa masuk harapan yang lebih baik, yang membawa kita lebih dekat kepada Allah. Dan semua ini tidaklah dilakukan tanpa sumpah. Imam-imam lain telah diangkat tanpa sumpah. Akan tetapi, Yesus Kristus telah menjadi imam dengan sumpah daripada Allah yang berfirman kepada-Nya: “Tuhan telah bersumpah dan tidak akan mengubah ketetapan: ‘Engkau menjadi imam selama-lamanya.’ ” Dengan demikian Yesus menjadi jaminan yang lebih kukuh bagi perjanjian yang lebih baik. Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan. Tetapi Yesus, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah.