1 SAMUEL 24:4-8 - Compare All Versions

1 SAMUEL 24:4-8 BM (Alkitab Berita Baik)

Raja Saul sampai di suatu tempat dekat beberapa buah kandang domba di tepi jalan. Raja Saul masuk ke dalam gua di situ untuk membuang air besar. Kebetulan sekali Daud dan anak buahnya sedang bersembunyi di gua itu juga, lebih ke dalam lagi. Anak buah Daud berkata kepadanya, “Inilah kesempatan tuan. Bukankah TUHAN sudah berfirman kepada tuan demikian, ‘Musuhmu akan Kuserahkan kepadamu, buatlah sesuka hatimu terhadap dia.’ ” Kemudian Daud menyelinap ke tempat Raja Saul dan dengan diam-diam memotong sedikit daripada tepi jubah Raja Saul. Tetapi setelah itu, Daud berasa bersalah kerana dia telah melakukan hal itu. Dia berkata kepada anak buahnya, “Semoga TUHAN mencegah aku daripada berbuat jahat terhadap rajaku yang telah dipilih TUHAN. Aku tidak boleh menyakiti raja sedikit pun kerana raja telah dipilih TUHAN.” Demikianlah Daud menenangkan anak buahnya, dan tidak mengizinkan mereka menyerang Raja Saul. Raja Saul bangkit dan meninggalkan gua itu, lalu meneruskan perjalanan.

1 SAMUEL 24:4-8 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Lalu orang Daud berkata kepadanya, “Inilah hari yang difirmankan TUHAN kepada tuan, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu. Lakukanlah terhadap dia menurut apa yang kaupandang baik.’ ” Daud pun mendekat lalu memotong bucu jubah Saul secara diam-diam. Kemudian berdebar-debarlah hati Daud, kerana dia telah memotong bucu jubah Saul. Lalu berkatalah dia kepada anak buahnya, “TUHAN melarang aku melakukan hal sebegitu terhadap tuanku, orang yang dilantik TUHAN, atau mencederakan dia, kerana dia dilantik TUHAN.” Dengan kata-kata itu Daud menahan anak buahnya dan tidak mengizinkan mereka untuk menyerang Saul. Sementara itu Saul bergegas meninggalkan gua untuk melanjutkan perjalanannya. Kemudian bergegaslah Daud keluar dari dalam gua dan berseru dari belakang Saul, katanya, “Tuanku Raja!” Ketika Saul menengok ke belakang, Daud membongkok dan sujud memberi hormat.