YOHANES 4:6-15, 28-29

YOHANES 4:6-15 BM

Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.) Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.” “Tuan,” kata wanita itu, “tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.” Wanita itu berkata, “Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan YOHANES 4:6-15, 28-29

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami