2 SAMUEL 9:3-11

2 SAMUEL 9:3-11 BM

Raja bertanya lagi kepadanya, “Adakah sesiapa daripada keluarga Raja Saul yang masih hidup, supaya beta dapat berbuat baik kepadanya menurut janji beta kepada Allah?” Ziba menjawab, “Masih ada seorang anak lelaki Yonatan. Dia tempang.” Raja Daud bertanya, “Di mana dia?” Ziba menjawab, “Di Lodebar, di rumah Makhir anak Amiel.” Oleh itu Raja Daud menyuruh orang memanggil anak Yonatan itu. Ketika Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul itu tiba, dia sujud untuk menghormati Raja Daud. Raja Daud menyambutnya, dan bertitah, “Mefiboset,” lalu dia menjawab, “Ya, tuanku.” Raja Daud bertitah kepadanya, “Jangan takut. Beta akan bermurah hati kepadamu kerana Yonatan, bapamu. Beta akan memberi engkau semula semua tanah yang dahulu dimiliki datukmu Raja Saul. Kamu akan sentiasa dijemput makan di meja beta.” Mefiboset bersujud sekali lagi dan berkata, “Hamba hanya seperti anjing mati. Mengapakah tuanku begitu baik terhadap hamba?” Selepas itu Raja Daud memanggil Ziba, hamba Raja Saul, dan bertitah kepadanya, “Beta telah menyerahkan segala milik Raja Saul dan keluarganya kepada Mefiboset, cucu tuanmu itu. Kamu, anak-anakmu dan hamba-hambamu, mesti mengusahakan tanah itu untuk keluarga tuanmu, dan berikanlah hasil tanah itu kepada mereka untuk mencukupi keperluan mereka. Tetapi Mefiboset akan sentiasa makan di meja beta.” (Ziba mempunyai lima belas orang anak lelaki dan dua puluh orang hamba.) Ziba menjawab, “Hamba akan melaksanakan segala perintah tuanku.” Oleh itu Mefiboset makan bersama-sama raja, seperti salah seorang putera Raja Daud sendiri.
BM: Alkitab Berita Baik
Kongsi