1 RAJA-RAJA 19:1-9

1 RAJA-RAJA 19:1-9 BM

Raja Ahab memberitahu Izebel isterinya, segala yang telah dilakukan Elia, dan juga cara Elia membunuh semua nabi Baal. Izebel mengirim berita kepada Elia, katanya, “Biarlah para dewa membunuh aku, jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan engkau seperti engkau memperlakukan nabi-nabi itu.” Elia ketakutan, lalu dia dan hambanya lari ke Bersyeba di Yehuda. Elia meninggalkan hambanya di situ, lalu berjalan sepanjang hari ke padang gurun. Kemudian dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok; dia ingin mati. Dia berdoa, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.” Elia melihat di sekelilingnya dan nampak seketul roti bakar dan sebuah kendi berisi air dekat kepalanya. Dia makan dan minum, lalu berbaring semula. Malaikat TUHAN kembali dan membangunkannya sekali lagi. Katanya, “Bangunlah dan makanlah, supaya engkau tahan dalam perjalanan yang jauh.” Elia bangun dan makan; makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama empat puluh hari ke Gunung Sinai, tempat Allah menyatakan diri. Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua. Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?”
BM: Alkitab Berita Baik
Kongsi