Bilangan 34:1-12
Bilangan 34:1-12 AVB
TUHAN berfirman kepada Musa, “Perintahkanlah orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu telah memasuki Tanah Kanaan, maka itulah negeri yang akan menjadi harta pusakamu, iaitu Tanah Kanaan menurut semua perbatasannya. Sempadan selatanmu ialah dari Gurun Zin berpinggirkan Edom. Batas selatanmu dari hujung Laut Mati ke arah timur, kemudian membelok ke selatan Tanjakan Akrabim, dan menyeberangi ke Zin, dan berakhir di sebelah selatan Kadesh-Barnea. Dari situ perbatasan berlanjutan ke Hazar-Adar dan terus ke Azmon, lalu dari Azmon membelok ke Wadi Mesir dan berakhir di laut. Sempadan barat wilayah kamu ialah Laut Besar dan sepanjang pesisirnya. Itulah sempadan barat kamu. Bagi sempadan utara kamu, tentukanlah tanda perbatasan dari Laut Besar ke Gunung Hor, lalu dari Gunung Hor ke jalan masuk menuju Hamat, hingga berakhir di Zedad. Kemudian perbatasan menjalar ke Zifron dan berakhir di Hazar-Enan. Itulah perbatasan utara kamu. Tentukanlah tanda sempadan kamu di sebelah timur dari Hazar-Enan ke Sefam. Dari Sefam perbatasan menurun ke Ribla, di sebelah timur Ain, kemudian menurun lagi hingga sampai ke lereng Danau Kineret di sebelah timur. Selanjutnya batas turun ke Sungai Yordan dan berakhir di Laut Mati. Itulah negerimu dengan perbatasan yang mengelilinginya.’ ”

