Bilangan 22:21-31

Bilangan 22:21-31 AVB

Bileam bangun pada paginya dan mengenakan pelana pada keldainya lalu pergi bersama-sama orang besar Moab itu. Akan tetapi, ternyalalah murka Allah kerana dia pergi, maka malaikat TUHAN berdiri di jalan, mengadangnya sebagai lawan. Pada waktu itu Bileam menunggangi keldainya dan kedua-dua pelayannya menyertainya. Ketika keldai itu melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya, menyimpanglah keldai itu dari jalan lalu masuk ke ladang. Bileam memukul keldainya supaya kembali ke jalan. Kemudian malaikat TUHAN berdiri di tempat yang sempit di antara dua kebun anggur dengan tembok di sebelah-menyebelah. Apabila keldai itu melihat malaikat TUHAN, dia merapatkan tubuhnya pada tembok sehingga kaki Bileam terhimpit tembok. Lalu dia memukul keldainya lagi. Setelah itu, malaikat TUHAN berjalan terus dan berdiri di suatu tempat sempit tanpa ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. Apabila keldai itu melihat malaikat TUHAN, direbahkannya badannya walhal Bileam masih berada di atasnya. Maka meluaplah amarah Bileam sehingga dipukulnya keldai itu dengan tongkatnya. Kemudian TUHAN membuat keldai itu dapat berkata-kata lantas berkatalah keldai itu kepada Bileam, “Apakah yang kulakukan terhadapmu sehingga kamu memukul aku tiga kali?” Jawab Bileam kepada keldai itu, “Kerana kamu membodohkan aku! Kalaulah ada pedang di tanganku tentulah kamu kubunuh sekarang.” Kata keldai itu kepada Bileam, “Bukankah aku ini keldaimu yang kamu tunggangi seumur hidupmu sampai hari ini? Adakah aku biasa berbuat demikian padamu?” Jawabnya, “Tidak.” Kemudian TUHAN menyingkapkan mata Bileam sehingga dia melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya. Maka membongkoklah dia dan sujud memberi hormat.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami