YouVersion Logo
Search Icon

KELUARAN 20

20
Sepuluh Hukum Allah
(Ul 5.1-21)
1Kemudian Allah berfirman, dan inilah firman-Nya, 2“Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba.
3Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja.
4Jangan buat patung bagi diri kamu, patung yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. 5 Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu, dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. 6 Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan taat kepada hukum-Ku.
7 Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku.
8 Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci. 9Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, 10 tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau bangsa asing yang tinggal di negeri kamu. 11 Dalam masa enam hari Aku, TUHAN, telah menciptakan bumi, langit, laut, dan semua yang ada di dalam segalanya itu, tetapi pada hari yang ketujuh Aku berehat. Itulah sebabnya Aku, TUHAN, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya bagi-Ku.
12 Hormatilah bapa dan ibu kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku berikan kepada kamu.
13 Jangan membunuh.
14 Jangan berzina.
15 Jangan mencuri.
16 Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain.
17 Jangan ingini kepunyaan orang lain: rumahnya, isterinya, abdinya, ternakannya, keldainya atau apa-apa pun miliknya.”
Orang Israel Ketakutan
(Ul 5.22-33)
18Apabila orang Israel mendengar bunyi guruh dan trompet, serta melihat kilat dan gunung berasap, mereka gementar ketakutan lalu berdiri jauh dari situ. 19 Mereka berkata kepada Musa, “Jika tuan bercakap kepada kami, kami akan mendengar. Tetapi jika Allah berfirman kepada kami, kami akan mati.”
20Musa menjawab, “Jangan takut; Allah datang hanya untuk menguji kamu, supaya kamu tetap taat kepada-Nya dan supaya kamu tidak berdosa.” 21Tetapi umat itu masih berdiri jauh dari situ, dan hanya Musa yang menghampiri awan gelap di tempat Allah berada.
Peraturan tentang Mazbah
22TUHAN menyuruh Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah melihat bagaimana Aku, TUHAN telah berfirman kepada kamu dari langit. 23Jangan buat berhala bagi diri kamu – berhala daripada perak ataupun emas untuk disembah di samping Aku. 24Binalah mazbah daripada tanah bagi-Ku; di atasnya persembahkanlah domba dan lembu kamu sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Di setiap tempat yang Aku tentukan bagi kamu untuk beribadat kepada-Ku, Aku akan datang dan memberkati kamu. 25 Jika kamu membina mazbah daripada batu untuk-Ku, jangan binanya daripada batu yang dipahat, kerana apabila kamu menggunakan pahat padanya, batu itu tidak lagi layak untuk-Ku. 26Jangan bina mazbah yang bertangga untuk-Ku, supaya tidak kelihatan bahagian badan kamu yang tidak wajar dilihat.”

Currently Selected:

KELUARAN 20: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy