YouVersion Logo
Search Icon

YEHEZKIEL 36

36
Berkat Allah untuk Israel
1TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, berkatalah kepada pergunungan Israel dan suruhlah pergunungan itu mendengar perkhabaran daripada Aku, 2TUHAN Raja: Musuh Israel mencemuh mereka dan berkata, ‘Sekarang bukit-bukit purba itu milik kita!’
3Bernubuatlah dan isytiharkanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Ketika bangsa-bangsa jiran mengalahkan dan menjarah pergunungan Israel, mereka semua menghina Israel. 4Oleh itu, hai gunung dan bukit Israel, anak sungai dan lembah, tempat yang sudah menjadi runtuhan, dan kota yang telah ditinggalkan oleh penghuninya serta dijarah dan dihina oleh bangsa-bangsa di sekitar, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada kamu.
5Dalam luapan kemurkaan, Aku, TUHAN Raja telah mengutuk bangsa-bangsa jiran itu, terutama sekali Edom. Dengan suka ria dan sikap menghina, mereka merampas negeri-Ku dan padang rumputnya.
6Oleh itu bernubuatlah kepada negeri Israel. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan dengan sangat murka kepada gunung, bukit, sungai kecil, serta lembah, kerana bangsa-bangsa itu telah menghina dan memandang rendah kepada tempat-tempat itu. 7Aku, TUHAN Raja, bersumpah bahawa bangsa-bangsa di sekitar itu akan dihina. 8Tetapi pokok-pokok di pergunungan Israel akan berdaun serta berbuah semula bagi kamu, hai Israel, umat-Ku. Tidak lama lagi kamu akan pulang. 9Aku memihak kamu. Aku akan memastikan supaya tanah kamu dibajak dan ditanami benih semula. 10Aku akan menambah bilangan kamu. Kamu akan tinggal di kota-kota dan membina semula segala yang telah runtuh. 11Aku akan menambah bilangan penduduk dan ternak kamu. Bilangan kamu akan menjadi lebih besar daripada dahulu. Kamu akan beroleh banyak anak. Aku akan membenarkan kamu tinggal di sana seperti dahulu, dan Aku akan membuat kamu lebih makmur seperti yang belum pernah kamu alami. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. 12Aku akan membawa kamu, Israel, umat-Ku pulang supaya kamu dapat tinggal di negeri itu lagi. Negeri itu akan menjadi milik kamu, dan akan selalu memberikan hasilnya supaya anak-anak kamu tidak mati kelaparan.
13Aku, TUHAN Raja berfirman: Memang benar orang mengatakan negeri ini pemakan orang, dan negeri ini menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak. 14Tetapi mulai sekarang negeri ini tidak akan memakan orang ataupun menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. 15Negeri ini tidak akan dihina ataupun diejek lagi oleh bangsa-bangsa. Negeri ini tidak akan menghapuskan penduduknya lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.”
Kehidupan Baru Israel
16TUHAN berfirman kepadaku, 17“Hai manusia fana, ketika umat Israel tinggal di negeri mereka, mereka menajiskan negeri itu dengan cara hidup dan kelakuan mereka. Aku menganggap kelakuan mereka itu najis seperti wanita yang sedang haid. 18Aku membiarkan mereka merasakan segala kemurkaan-Ku kerana mereka telah melakukan banyak pembunuhan di negeri itu, dan mencemarkannya dengan berhala-berhala mereka. 19Aku menghukum mereka setimpal dengan cara hidup dan kelakuan mereka, lalu Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing. 20Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat TUHAN, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’ 21Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi.
22Oleh itu sampaikanlah perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja kepada orang Israel: Apa yang akan Aku lakukan bukan kerana kepentingan kamu umat Israel, tetapi kerana kepentingan nama-Ku yang suci, yang telah kamu cemarkan di setiap negeri kamu pergi. 23Apabila Aku menunjukkan kesucian nama-Ku yang mulia kepada bangsa-bangsa - nama yang telah kamu cemarkan antara mereka - barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Aku akan menggunakan kamu untuk menunjukkan kesucian-Ku kepada mereka. 24Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan daripada setiap bangsa lalu membawa kamu pulang ke negeri kamu sendiri. 25Aku akan memercikkan air bersih pada kamu, dan membersihkan kamu daripada segala berhala kamu dan segala sesuatu yang telah menajiskan kamu. 26Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat. 27Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke dalam hati kamu agar kamu menurut hukum-Ku dan melaksanakan semua perintah yang telah Kuberikan kepada kamu. 28 Lalu kamu akan tinggal di negeri yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu. Kamu akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah kamu. 29Aku akan membebaskan kamu daripada segala yang menajiskan kamu. Aku akan memerintah gandum supaya tumbuh dengan subur sehingga kamu tidak mengalami kebuluran lagi. 30Aku akan menambah hasil pokok-pokok buah dan hasil ladang kamu, agar tidak ada kebuluran lagi yang memalukan kamu antara bangsa-bangsa. 31Kamu akan teringat kepada kelakuan jahat dan kesalahan yang kamu lakukan, lalu kamu akan berasa jijik terhadap diri sendiri kerana dosa dan kekejian kamu itu. 32Ketahuilah hai Israel, Aku tidak melakukan semua itu untuk kepentingan kamu. Sebaliknya Aku hendak kamu berasa malu dan hina kerana perbuatan kamu itu. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”
33TUHAN Raja berfirman, “Setelah Aku membersihkan kamu daripada segala dosa kamu, Aku akan membenarkan kamu tinggal lagi di kota-kota kamu, dan membina semula runtuhannya. 34Setiap orang yang telah lalu di ladang-ladang kamu nampak betapa tandusnya tanah itu, tetapi Aku akan membiarkan kamu mengusahakan tanah itu semula. 35Lalu setiap orang akan berkata bahawa tanah yang dahulu tandus sudah menjadi seperti Taman Eden, dan kota-kota yang telah dirobohkan, dijarah, dan dibiarkan runtuh, sekarang menjadi kota berkubu dan didiami orang. 36Barulah bangsa-bangsa jiran yang masih terselamat akan tahu bahawa Aku, TUHAN membina semula kota-kota yang telah runtuh dan mengusahakan semula tanah yang tandus. Aku, TUHAN, telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti akan melakukannya.”
37TUHAN Raja berfirman, “Sekali lagi Aku akan membenarkan umat Israel meminta pertolongan-Ku, dan Aku akan menambah bilangan mereka seperti sekawanan domba. 38Kota-kota yang sekarang runtuh akan penuh dengan orang, seperti dahulunya Yerusalem penuh dengan domba yang dipersembahkan pada hari perayaan. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”

Currently Selected:

YEHEZKIEL 36: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy