YouVersion Logo
Search Icon

SIRAKH 1

1
Rahsia Kebijaksanaan
1Segala kebijaksanaan berasal daripada Tuhan
dan ada pada-Nya untuk selama-lamanya.
2Siapakah dapat menghitung pasir di pantai, titik-titik air hujan,
atau hari-hari abadi?
3Siapakah dapat menduga tingginya langit, luasnya bumi,
dalamnya samudera, atau dalamnya kebijaksanaan?
4Kebijaksanaan dicipta pertama sekali sebelum segalanya,
dan pengertian yang arif telah sentiasa wujud.
6Kepada siapakah diberitahukan pangkal kebijaksanaan,
dan siapakah yang menyelami kepandaiannya?
8Hanya Satu yang bijaksana, iaitu Dia yang duduk di atas takhta.
Kita harus takut dan hormat kepada-Nya.
9Tuhan sendirilah yang mencipta kebijaksanaan;
Dia melihatnya dan menghargainya.
Segala ciptaan-Nya dipenuhi-Nya dengan kebijaksanaan.
10Setiap makhluk menerima kebijaksanaan sesuai dengan pemberian Tuhan;
Dia memberikan kebijaksanaan kepada orang yang mencintai-Nya.
Takut kepada Tuhan
11Takut kepada Tuhan membawa kehormatan dan kebanggaan,
kesukaan serta kegembiraan yang tertinggi.
12Takut kepada Tuhan menyegarkan hati dan memberikan sukacita,
kegirangan serta umur panjang.
13Orang yang takut kepada Tuhan akhirnya sejahtera;
Allah akan memberkati mereka pada hari ajal mereka.
14Takut kepada Tuhan ialah langkah pertama menuju kebijaksanaan;
orang yang setia menerima kebijaksanaan sejak dari kandungan ibu mereka.
15Kebijaksanaan ada pada manusia sejak dahulu kala
dan tetap tinggal pada keturunan mereka.
16Takut kepada Tuhan ialah kebijaksanaan yang sempurna;
kebijaksanaan memuaskan hati kita dengan semua pemberiannya,
17mengisi rumah kita dengan segala keinginan hati kita,
serta gudang-gudang kita dengan hasilnya.
18Takut kepada Tuhan ialah puncak kebijaksanaan
yang berkembang dengan kesejahteraan dan kesihatan.
19Kebijaksanaan mencurahkan pengertian dan pengetahuan.
Orang yang memilikinya bertambah kehormatan mereka.
20Takut kepada Tuhan adalah pangkal kebijaksanaan,
dan umur panjang adalah ranting-rantingnya.
Menguasai Diri
22Orang yang marah tanpa alasan tidak dapat dimaafkan, oleh sebab kemarahan yang meluap-luap mencelakakan manusia. 23Orang yang sabar menunggu saat yang tepat akan bergembira kelak. 24Orang yang berdiam diri sehingga saat yang tepat akan sangat dipuji kerana kearifan mereka.
Kebijaksanaan dan Penghormatan kepada Allah
25Kebijaksanaan kaya dengan bidalan yang arif, tetapi orang yang berdosa menganggap kehidupan yang salih suatu kekejian. 26Jika engkau menginginkan kebijaksanaan, taatilah perintah-perintah Tuhan, maka Tuhan akan memberikannya kepadamu. 27Orang yang takut kepada Tuhan ialah orang yang bijaksana dan terdidik. Tuhan suka kepada orang yang setia dan merendahkan hati. 28Hendaklah engkau takut kepada Tuhan dan mendampingi Dia dengan kejujuran. Jangan beribadat kepada Tuhan dengan tidak jujur. 29Jagalah kata-katamu selalu, dan janganlah jadi orang munafik. 30Jangan sombongkan diri supaya engkau tidak jatuh dan mendapat malu, oleh sebab Tuhan akan membuka rahsiamu dan mempermalukan engkau di hadapan seluruh umat, kerana engkau tidak takut kepada Tuhan dan engkau bersikap munafik.

Currently Selected:

SIRAKH 1: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy