YouVersion Logo
Search Icon

RATAPAN 1

1
Penderitaan Yerusalem
1Alangkah sunyinya Yerusalem, yang dahulu penuh dengan penduduk!
Dahulu kota itu dihormati di seluruh dunia, tetapi sekarang seperti balu.
Kota yang termulia di bumi telah dijadikan hamba.
2Sepanjang malam dia menangis, air matanya bercucuran di pipi.
Tidak seorang pun daripada kawannya mahu menghibur dia.
Sekutunya telah mengkhianati dan memusuhi dia.
3Penduduk Yehuda dijadikan hamba yang tidak berdaya,
dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka.
Mereka tinggal di kalangan bangsa-bangsa,
tanpa tempat yang memberikan damai sentosa.
Mereka dikepung musuh pada waktu mereka sengsara.
4Kini tidak seorang pun datang ke Rumah TUHAN pada hari perayaan.
Gadis-gadis yang menyanyi di sana menderita,
dan para imam berkeluh-kesah.
Pintu gerbang kota lengang, dan kota Sion diliputi kesedihan.
5Musuh berjaya kerana dapat menguasai Yerusalem;
TUHAN membuat dia menderita kerana sangat banyak dosanya.
Penduduknya telah ditawan dan dibawa pergi oleh musuh.
6Keindahan Yerusalem sudah lenyap.
Kini para pemimpinnya seperti rusa yang lemah dan lapar;
mereka kehabisan tenaga semasa dikejar pemburu.
7Yerusalem teringat akan keagungannya pada masa silam;
kini kota itu runtuh dan penuh kesengsaraan.
Tiada sesiapa yang menolongnya ketika dia dikalahkan musuh;
semua penakluk mentertawakan kejatuhannya.
8Kehormatannya tiada lagi;
dia bertelanjang dan dihina.
Dia mengerang dan menyembunyikan muka kerana malu,
Yerusalem telah menajiskan diri dengan dosa yang keji.
9Kenajisannya nampak dengan nyata namun tidak dipedulikannya.
Keruntuhannya sangat dahsyat, tiada sesiapa pun dapat menghiburkannya.
Musuhnya menang dan dia menangis minta belas kasihan daripada TUHAN.
10Musuhnya merampas segala kekayaannya.
Dia nampak mereka masuk ke Rumah TUHAN,
tempat larangan bagi orang yang bukan umat TUHAN.
11Penduduk kota itu mengerang sementara mereka mencari makanan,
mereka menukarkan harta benda dengan makanan,
supaya mereka tetap hidup dan tidak mati.
Kota Yerusalem berseru, “Pandanglah aku, ya TUHAN, dan lihatlah kesengsaraanku.”
12“Pandanglah aku,” serunya kepada setiap orang yang lalu di situ.
“Belum pernah sesiapa pun menderita seperti aku,
penderitaan yang didatangkan oleh TUHAN kepadaku kerana kemurkaan-Nya.
13Dia menurunkan api dari langit, api yang membakar dalam diriku.
Dia memasang perangkap bagiku dan menjatuhkan aku ke tanah.
Lalu Dia membiarkan aku seorang diri menderita sepanjang hari.
14Dia memerhati segala dosaku, lalu mengikatnya menjadi satu,
dan mengalungkannya pada leherku, sehingga beratnya melemahkan aku.
Tuhan menyerahkan aku kepada musuhku, dan aku tidak berdaya melawan mereka.
15Tuhan mentertawakan pahlawan-pahlawanku;
Dia mengirim tentera untuk membinasakan pemudaku.
Dia memijak-mijak umatku sampai hancur, seperti orang memeras buah anggur.
16Itulah sebabnya air mataku bercucuran.
Tiada sesiapa pun dapat menghibur aku, ataupun menguatkan hatiku.
Musuh telah mengalahkan aku; pendudukku telah kehilangan segala sesuatu.
17Aku menghulurkan tangan, tetapi tiada sesiapa menolong aku.
TUHAN mengirim musuh dari segala arah untuk memerangi aku.
Mereka memperlakukan aku seperti najis.
18Namun TUHAN adil kerana aku telah melanggar perintah-Nya.
Dengarkan aku, hai semua bangsa, pandanglah aku yang kesakitan.
Para pemuda dan pemudiku ditawan dan dibawa pergi.
19Aku memanggil sekutuku, tetapi mereka tidak mahu menolong aku.
Para imam dan pemimpin mati di jalan-jalan kota,
ketika mencari makanan untuk terus hidup.
20Ya TUHAN, lihatlah kesengsaraanku dan penderitaan batinku.
Hatiku hancur kerana dosaku dahulu.
Pembunuhan berlaku di jalan raya, bahkan di dalam rumah pun kematian berlaku.
21Dengarlah rintihanku; tiada sesiapa pun yang menghibur aku.
Musuhku bersukacita kerana Engkau telah mendatangkan bencana ini kepadaku.
Datangkan hari yang Engkau janjikan itu, agar musuhku menderita seperti aku.
22Salahkan mereka kerana segala kejahatan mereka.
Hukumlah mereka sebagaimana Engkau menghukum aku kerana dosaku.
Aku berkeluh-kesah kerana amat sedih hatiku.”

Currently Selected:

RATAPAN 1: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy