YouVersion Logo
Search Icon

YOHANES 15

15
Yesus Pokok Anggur yang Sejati
1Yesus berkata lagi, “Aku pokok anggur yang sejati, dan Bapa-Ku peladang anggur. 2Setiap carang-Ku yang tidak berbuah dikerat oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah dipangkas oleh-Nya supaya bersih dan berbuah lebih lebat. 3Kamu sudah dibersihkan oleh ajaran yang Aku ajarkan kepada kamu. 4Tetaplah bersatu dengan Aku dan Aku pun akan tetap bersatu dengan kamu. Carang sendiri tidak dapat berbuah, kecuali tetap pada pokoknya. Demikian juga kamu; kamu hanya dapat berbuah, jika kamu tetap bersatu dengan Aku.
5Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa. 6Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan Aku, akan dikerat seperti carang lalu menjadi kering. Carang-carang seperti itu akan dikumpulkan lalu dibuang ke dalam api dan dibakar. 7Jika kamu tetap bersatu dengan Aku, dan ajaran-Ku kamu simpan di dalam hati, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki daripada Bapa, dan permintaan kamu itu akan dipenuhi. 8Kemuliaan Bapa-Ku dinyatakan apabila kamu berbuah lebat, dan dengan demikian kamu betul-betul pengikut-Ku. 9Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi. 10Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.
11Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna. 12 Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu. 13Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka. 14Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan. 15Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku. 16Kamu tidak memilih Aku. Akulah yang memilih kamu dan menugaskan kamu supaya pergi dan berbuah lebat, buah yang akan tahan. Dengan demikian Bapa akan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta daripada-Nya demi nama-Ku. 17Inilah perintah-Ku kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi.”
Dunia Membenci Kamu
18“Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu. 19Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu. 20 Ingatlah akan apa yang sudah Aku katakan kepada kamu, ‘Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya Aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Jika mereka mentaati ajaran-Ku, mereka akan mentaati ajaran kamu juga. 21Mereka akan menganiaya kamu, kerana kamu pengikut-pengikut-Ku dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku. 22Mereka tidak berdosa jika Aku tidak datang dan mengatakan semua itu kepada mereka. Tetapi sekarang mereka tidak dapat berkata, ‘Kami tidak tahu bahawa perbuatan kami jahat.’ 23Sesiapa yang membenci Aku, membenci Bapa-Ku juga. 24Mereka tidak berdosa jika Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di kalangan mereka. Tetapi sekarang mereka sudah melihat apa yang Aku lakukan, lalu mereka membenci Aku mahupun Bapa-Ku. 25 Memang sudah seharusnya demikian, supaya berlakulah apa yang tertulis di dalam Taurat mereka, ‘Mereka membenci Aku tanpa alasan.’
26Aku akan mengutus Penolong yang berasal daripada Bapa kepada kamu. Dia Roh yang akan menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Apabila Dia datang, Dia akan memberikan kesaksian tentang Aku. 27Kamu pun akan memberikan kesaksian tentang Aku, kerana kamu semua bersama-sama Aku sejak permulaan.

Currently Selected:

YOHANES 15: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy