YouVersion Logo
Search Icon

HAKIM-HAKIM 1

1
Suku Yehuda dan Suku Simeon Menangkap Raja Adoni-Bezek
1Selepas Yosua meninggal, umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Ya TUHAN, suku yang manakah harus pertama pergi menyerang orang Kanaan?”
2TUHAN menjawab, “Suku Yehuda. Aku akan memberi mereka kuasa untuk merebut negeri itu.”
3Suku Yehuda berkata kepada suku Simeon, “Bantulah kami memerangi orang Kanaan dan menduduki wilayah yang ditentukan TUHAN untuk kami. Selepas itu kami pula akan membantu kamu menduduki wilayah yang ditentukan TUHAN untuk kamu.” Oleh itu suku Simeon 4pergi berperang bersama dengan suku Yehuda. TUHAN memberi mereka kemenangan atas orang Kanaan dan orang Feris. Mereka mengalahkan sepuluh ribu orang askar di Bezek. 5Mereka menjumpai Raja Adoni-Bezek, dan menyerang baginda. 6Raja Adoni-Bezek melarikan diri, tetapi mereka mengejar dan menangkap baginda. Mereka memotong ibu jari tangan dan ibu jari kakinya. 7Raja Adoni-Bezek bertitah, “Dahulu beta memotong ibu jari tangan dan ibu jari kaki tujuh puluh orang raja, dan mereka memungut sisa makanan di bawah meja beta. Sekarang Allah memperlakukan beta seperti beta memperlakukan mereka.” Kemudian Raja Adoni-Bezek dibawa ke Yerusalem, lalu baginda mangkat di sana.
Suku Yehuda Mengalahkan Yerusalem dan Hebron
8Orang Yehuda menyerang Yerusalem, lalu merebut dan membakar kota itu, serta membunuh penduduknya. 9Selepas itu mereka berperang dengan orang Kanaan yang tinggal di kawasan perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di kawasan tanah gersang di sebelah selatan. 10Orang Yehuda menyerang orang Kanaan yang tinggal di kota Hebron, yang dahulu dinamakan Kiryat-Arba. Di situ mereka mengalahkan puak Sesai, Ahiman, dan Talmai.
Otniel Mengalahkan Kota Debir
(Yos 15.13-19)
11Dari Hebron, orang Yehuda menyerang kota Debir, yang pada waktu itu dinamakan Kiryat-Sefer. 12Salah seorang daripada suku Yehuda itu, yang bernama Kaleb berkata, “Aku akan mengahwinkan anak perempuanku, Akhsa, dengan orang yang berjaya merebut Kiryat-Sefer.” 13Otniel, anak kepada adik lelaki Kaleb yang bernama Kenas, berjaya merebut kota itu. Oleh itu Kaleb mengahwinkan anak perempuannya, Akhsa, dengan Otniel. 14Pada hari perkahwinan mereka, Otniel mendesak Akhsa meminta sebidang tanah daripada bapanya. Akhsa turun dari keldainya, lalu Kaleb menanyai dia apa yang dikehendakinya. 15Akhsa menjawab, “Tanah yang ayah berikan kepada saya itu gersang. Berilah saya juga beberapa mata air.” Oleh itu Kaleb memberi dia mata air di sebelah hulu dan mata air di sebelah hilir.
Kemenangan Suku Yehuda dan Suku Benyamin
16Keturunan bapa mentua Musa, iaitu orang Keni, berangkat bersama-sama suku Yehuda dari Yerikho, kota pokok kurma. Kemudian mereka pergi ke tanah gersang di sebelah selatan Arad di wilayah Yehuda. Mereka tinggal di situ di kalangan orang Amalek. 17Kemudian suku Yehuda bersama dengan suku Simeon pergi menyerang dan mengalahkan orang Kanaan yang tinggal di kota Zefat. Mereka mengutuk kota itu dan memusnahkannya, lalu menamakannya Horma. 18-19TUHAN menolong suku Yehuda sehingga mereka berjaya menduduki kawasan perbukitan. Tetapi mereka tidak berjaya merebut kota Gaza, Askelon, dan Ekron, serta kawasan di sekitar semua kota itu. Suku Yehuda tidak berjaya mengusir penduduk yang tinggal di sepanjang pantai itu, kerana penduduk di sana mempunyai kereta kuda yang dibuat daripada besi. 20 Sebagaimana yang diperintahkan Musa, Hebron diberikan kepada Kaleb, kerana dahulu tiga puak keturunan Enak telah diusir oleh Kaleb dari kota itu. 21 Tetapi suku Benyamin tidak berjaya mengusir orang Yebusi dari Yerusalem. Itulah sebabnya orang Yebusi masih tinggal di sana bersama-sama orang Benyamin.
Suku Efraim dan Suku Manasye Mengalahkan Betel
22-23Suku Efraim dan suku Manasye menyerang kota Betel, yang ketika itu bernama Lus. TUHAN menolong mereka. Pengintip-pengintip yang diutus ke kota itu, 24berjumpa dengan seorang lelaki yang datang dari kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Tolong tunjukkan jalan masuk ke kota ini, dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.” 25Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka. Kemudian orang daripada suku Efraim dan suku Manasye memasuki kota itu dan membunuh semua penduduknya, kecuali lelaki itu dan keluarganya. 26Kemudian lelaki itu berpindah ke negeri orang Het dan membina sebuah kota di sana. Dia menamakan kota itu Lus; kota itu masih bernama demikian.
Bangsa-Bangsa yang Tidak Diusir oleh Umat Israel
27Suku Manasye tidak mengusir penduduk kota Bet-Sean, Taanakh, Dor, Yibleam, Megido, dan penduduk pekan-pekan di sekitarnya. Oleh itu orang Kanaan tetap tinggal di situ. 28 Setelah umat Israel bertambah kuat, mereka memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka, tetapi mereka masih tidak mengusir semua orang Kanaan dari situ.
29 Suku Efraim tidak mengusir orang Kanaan yang tinggal di kota Gezer. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka.
30Suku Zebulon tidak mengusir penduduk kota Kitron dan Nahalol. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka. Tetapi orang Kanaan itu dipaksa bekerja untuk mereka.
31Suku Asyer tidak mengusir penduduk kota Ako, Sidon, Ahlab, Akhzib, Helba, Afek, dan Rehob. 32Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Asyer.
33Suku Naftali tidak mengusir penduduk kota Bet-Semes dan Bet-Anat. Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Naftali. Tetapi mereka dipaksa bekerja untuk suku Naftali.
34Orang Amori mendesak suku Dan lari ke kawasan perbukitan dan tidak membiarkan mereka tinggal di kawasan dataran rendah. 35Orang Amori masih tetap tinggal di Ayalon, Saalbim, dan Gunung Heres. Tetapi suku Efraim dan suku Manasye menguasai orang Amori dan memaksa mereka bekerja untuk kedua-dua suku itu.
36Di sebelah utara Sela, sempadan wilayah orang Edom melalui Genting Akrabim.

Currently Selected:

HAKIM-HAKIM 1: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy