YouVersion Logo
Search Icon

DANIEL 1

1
KISAH DANIEL DAN KAWAN-KAWANNYA
(1.1—6.28)
Pemuda-Pemuda Yahudi di Istana Raja Nebukadnezar
1 Pada tahun ketiga pemerintahan Yoyakim sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar, raja Babilonia menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu. 2Tuhan membenarkan Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakim dan merampas sebahagian daripada barang-barang berharga di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar membawa bersama-samanya beberapa orang tawanan dan menempatkan mereka di kuil dewa-dewanya di Babel. Baginda menyimpan barang-barang berharga itu di dalam gudang-gudang kuil.
3Raja Nebukadnezar memerintah Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk memilih beberapa orang pemuda dari kalangan orang Israel yang dalam pembuangan. Para pemuda itu harus daripada keturunan raja atau berdarah bangsawan. 4 Mereka harus kacak, berpendidikan tinggi, cerdas, dan berpengetahuan luas serta tidak cacat, supaya mereka dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas diperintah supaya mengajar mereka membaca dan menulis bahasa Babilonia. 5Raja juga memberikan perintah agar setiap hari mereka diberikan makanan dan wain sama seperti yang diberikan kepada anggota keluarga diraja. Selepas latihan selama tiga tahun, mereka akan dihadapkan kepada raja. 6Antara mereka yang terpilih ialah Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya, semuanya daripada suku Yehuda. 7Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baru, iaitu Beltsazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.
8Daniel bertekad untuk tidak menajiskan dirinya dengan makanan dan wain yang ditetapkan oleh raja. Oleh itu dia meminta pertolongan Aspenas, 9dan Allah menyebabkan Aspenas mengasihani dan menyayangi Daniel. 10Tetapi Aspenas berkata kepada Daniel, “Aku takut kepada tuanku raja. Baginda telah menetapkan makanan dan minuman kamu. Jika kamu tidak kelihatan sihat seperti pemuda lain, raja akan membunuh aku.”
11Kemudian Daniel berkata kepada pengawas yang ditugaskan oleh Aspenas untuk menjaga dia dan tiga orang kawannya, 12“Ujilah kami selama sepuluh hari. Berilah kami sayur dan air sahaja untuk makanan dan minuman. 13Selepas sepuluh hari, bandingkanlah rupa kami dengan rupa pemuda lain, yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja. Kemudian buatlah keputusan berdasarkan pengamatanmu.”
14Pengawas itu bersetuju dan membenarkan mereka mengadakan percubaan selama sepuluh hari. 15Selepas sepuluh hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat daripada semua pemuda yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja. 16Sejak hari itu pengawas itu membenarkan mereka terus makan sayur-sayuran, dan tidak makan makanan atau minum wain yang ditetapkan oleh raja.
17Allah memberi empat orang pemuda itu pengetahuan dan kepakaran dalam kesusasteraan dan falsafah. Tambahan pula, Dia memberi Daniel kebolehan untuk mentafsirkan penglihatan dan mimpi.
18Pada akhir tiga tahun masa latihan yang ditentukan oleh raja itu, Aspenas menghadapkan semua pemuda itu kepada Raja Nebukadnezar. 19Raja menemuramah mereka dan mendapati Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya melebihi pemuda-pemuda lain dalam segala bidang. Oleh itu mereka dilantik untuk berkhidmat di istana raja. 20Setiap kali raja mengemukakan persoalan yang memerlukan penerangan dan pertimbangan, raja mendapati jawapan dan tanggapan keempat-empat orang pemuda itu sepuluh kali lebih baik daripada jawapan dan tanggapan semua penilik dan ahli sihir di seluruh kerajaan baginda. 21Daniel terus berkhidmat di istana itu sehingga Raja Kores dari Persia, mula memerintah.

Currently Selected:

DANIEL 1: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy