YouVersion Logo
Search Icon

ESTER 1

1
Permaisuri Wasti Melawan Perintah Raja Ahasyweros
1-2 Di Susan, ibu kota Persia, Raja Ahasyweros memerintah 127 buah wilayah, dari India sampai ke Etiopia.
3Pada tahun ketiga pemerintahannya, Raja Ahasyweros mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya. Para panglima Persia dan Media, serta para gabenor dan pegawai tinggi dari wilayah-wilayah turut hadir di jamuan itu. 4Selama enam bulan raja mempamerkan kekayaan istananya, dan kemegahan serta keagungan kerajaan baginda.
5Selepas itu raja mengadakan jamuan bagi semua penduduk ibu kota, baik yang kaya mahupun yang miskin. Jamuan itu diadakan di taman istana raja, dan berlangsung selama satu minggu. 6Pekarangan istana dihias dengan tirai daripada kain linen berwarna biru dan putih, yang diikat dengan pita linen ungu yang halus, dan disangkutkan pada gelang-gelang perak yang dipasang pada tiang-tiang marmar. Sofa-sofa daripada emas dan perak di pekarangan istana, diletakkan di atas lantai yang berturap marmar putih, hablur merah, gewang yang berkilap, dan batu firus biru. 7Raja menyediakan sangat banyak wain yang dihidangkan di dalam cawan-cawan emas beraneka ragam. 8Wain yang diminum para tetamu tidak dihadkan. Raja sudah memberikan perintah kepada para pelayan istana supaya melayani setiap tetamu menurut keinginan masing-masing.
9Sementara itu, di dalam istana Permaisuri Wasti juga memberikan jamuan kepada para wanita.
10Pada hari ketujuh jamuan itu, raja minum sehingga berasa sangat gembira. Kemudian raja memanggil tujuh orang sida-sida yang menjadi pelayan peribadinya: Mehuman, Bizta, Harbona, Bigta, Abagta, Zetar, dan Karkas. 11Raja menyuruh mereka membawa Permaisuri Wasti kepadanya dengan memakai mahkota kerajaan. Permaisuri itu sangat cantik dan raja hendak memperlihatkan kecantikannya kepada para pembesar dan tetamunya. 12Tetapi apabila sida-sida itu menyampaikan perintah raja, Permaisuri Wasti tidak mahu datang. Perbuatannya itu menyebabkan raja sangat murka.
13Raja mempunyai kebiasaan untuk minta pendapat orang arif tentang persoalan undang-undang dan adat. Oleh itu raja memanggil para penasihatnya untuk bertanya apa yang harus dilakukan dalam perkara seperti itu. 14Para penasihat raja yang paling sering dipanggil ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan. Mereka pegawai Persia dan Media yang memangku kedudukan paling tinggi dalam kerajaan itu. 15Raja bertitah kepada tujuh orang penasihat itu, “Beta sudah mengutus pelayan kepada Permaisuri Wasti dengan perintah supaya permaisuri datang kepada beta, tetapi permaisuri enggan. Menurut undang-undang, tindakan apakah yang harus kita ambil terhadapnya?”
16Memukan berkata kepada raja dan para pembesar, “Permaisuri Wasti bukan sahaja sudah menghina tuanku, tetapi juga para pegawai tuanku, bahkan semua orang lelaki di dalam kerajaan! 17Kerana sebaik sahaja kaum wanita mendengar perbuatan permaisuri itu, tiap-tiap wanita di dalam kerajaan tidak akan menghormati suaminya. Mereka akan berkata, ‘Raja Ahasyweros memerintah supaya Permaisuri Wasti menghadap, tetapi permaisuri tidak mahu datang.’ 18Apabila para isteri pegawai diraja Persia dan Media mendengar tentang kelakuan permaisuri itu, tentu mereka akan segera memberitahu hal itu kepada suami mereka. Akibatnya, isteri akan melawan perintah suami dan suami akan memarahi isteri. 19Oleh itu, jika tuanku berkenan, keluarkanlah satu titah bahawa Permaisuri Wasti tidak boleh menghadap raja lagi. Titah itu harus dijadikan undang-undang Persia dan Media supaya tidak mungkin dibatalkan lagi. Setelah itu, berikanlah kedudukan Permaisuri Wasti kepada wanita lain yang lebih baik. 20Apabila titah tuanku itu diumumkan di seluruh kerajaan yang luas ini, maka tiap-tiap wanita akan menghormati suaminya, baik dia kaya mahupun miskin.”
21Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Memukan itu, lalu raja segera melaksanakannya. 22Raja mengirimkan surat perintah kepada semua wilayah di dalam kerajaan baginda, dalam setiap bahasa dan tulisan wilayah itu. Perintah itu mengatakan bahawa di dalam setiap rumah tangga, suamilah yang harus menjadi ketua, dan yang patut mengambil segala keputusan.

Currently Selected:

ESTER 1: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy