YouVersion Logo
Search Icon

1 MAKABE 1

1
Raja Aleksander yang Agung
1Sejarah ini bermula apabila Raja Aleksander, anak Filipus dari Makedonia, berangkat dari Makedonia dan menyerang Raja Darius, raja Persia dan Media. Baginda mengalahkan Raja Darius dan merebut takhtanya, dan dengan demikian memperluas kerajaan Yunani. 2Baginda melancarkan banyak peperangan; kota-kota berkubu direbutnya dan raja-raja negeri yang ditawannya dibunuh. 3Baginda mara sampai ke hujung-hujung bumi dan merompak banyak bangsa. Seluruh dunia tidak berdaya terhadap baginda. Maka baginda menjadi sombong dan angkuh. 4Baginda mengumpulkan tentera yang kuat dan menjajah banyak negeri, bangsa dan penguasa, dan mereka diharuskan membayar cukai kepada baginda.
5-7Setelah memerintah selama dua belas tahun, Raja Aleksander gering dan berasa kemangkatannya sudah sampai. Maka baginda memanggil para panglima terkemuka yang dididik bersama-sama baginda sejak kecil dan membahagi-bahagikan kerajaan baginda kepada mereka. 8Setelah Raja Aleksander mangkat, para panglima baginda mengambil alih kerajaan, dan berkuasa di wilayah masing-masing. 9Masing-masing menabalkan diri menjadi raja. Keturunan raja-raja itu memerintah bertahun-tahun dan banyak mendatangkan kesengsaraan di dunia.
Antiokhus Epifanes dan Pemberontak-Pemberontak Yahudi yang Meninggalkan Hukum
(2 Mak 4.7-17)
10Antiokhus Epifanes ialah putera Raja Antiokhus yang Ketiga dari Siria, keturunan salah seorang panglima Raja Aleksander. Antiokhus Epifanes itu jahat dan pernah menjadi tawanan di Roma, sebelum menjadi raja dalam tahun 137.
11Pada waktu itu di Israel muncul sekelompok orang yang tidak mempedulikan Taurat Musa dan mempunyai pengaruh buruk terhadap banyak orang. Mereka berkata, “Lebih baik kita mengadakan perjanjian dengan bangsa-bangsa jiran kita. Keengganan kita untuk bergaul dengan mereka, hanya membawa kesusahan kepada kita.” 12Usul itu disambut baik. 13Beberapa orang antara mereka rela menghadap raja, dan raja mengizinkan mereka untuk mengikut adat istiadat bangsa-bangsa lain. 14Di Yerusalem mereka membina sebuah stadium seperti yang terdapat di kota-kota Yunani. 15Mereka menghilangkan bekas sunat mereka dan meninggalkan perjanjian dengan Allah. Mereka bergabung dengan bangsa-bangsa asing dan melakukan kejahatan.
Raja Antiokhus Menyerang Mesir
16Ketika Raja Antiokhus melihat bahawa pemerintahan baginda sudah mantap, baginda berniat menakluki Mesir dan memerintah negeri itu juga. 17Baginda menyerbu Mesir dengan sebuah armada yang besar dan tentera yang kuat, termasuk kereta kuda-kereta kuda perang dan gajah-gajah. 18Dalam serangan itu Raja Ptolemeus, raja Mesir dikalahkan; Ptolemeus melarikan diri dan antara para askar baginda, banyak yang gugur. 19Raja Antiokhus berjaya merebut kota-kota berkubu di Mesir dan merompak seluruh negeri.
Raja Antiokhus Merompak Rumah Allah
20Sesudah Mesir dikalahkan dalam tahun 143, Raja Antiokhus kembali, dan dengan tentera yang amat besar baginda menyerbu negeri Israel dan kota Yerusalem. 21Dengan bongkaknya baginda masuk ke dalam Rumah Allah dan mengambil mazbah emas, kaki pelita dengan segala perlengkapannya, 22meja untuk roti sajian, cawan-cawan dan mangkuk-mangkuk, pedupaan daripada emas, tirai dan mahkota-mahkota. Semua perhiasan emas di bahagian hadapan Rumah Allah juga direnggutnya. 23Baginda mengambil apa sahaja daripada emas dan perak serta semua barang berharga dan harta tersembunyi yang ditemukannya di situ. 24Semuanya diangkut baginda ke negerinya sendiri. Baginda telah membunuh banyak orang dan dengan sombong menghebahkan apa yang dilakukannya. 25Di seluruh Israel, orang ditimpa kesedihan besar.
26Para penguasa dan tua-tua berkeluh-kesah,
pemuda dan pemudi kita merana,
kaum wanita kehilangan kecantikan mereka.
27Setiap mempelai lelaki menyanyikan lagu ratapan
dan pengantin wanita berkabung di biliknya.
28Seluruh rakyat Israel berasa malu,
negeri kita goyah kerana penduduknya.
Raja Antiokhus Menghapus Agama Yahudi
29Dua tahun kemudian, Raja Antiokhus mengirim seorang ketua pemungut cukai ke kota-kota di Yudea. Dia datang ke kota Yerusalem dengan sepasukan tentera yang besar, 30dan bercakap ramah dengan rakyat. Dia berpura-pura menawarkan perjanjian perdamaian, dan rakyat percaya kepadanya. Tiba-tiba dia menyerang kota itu dan menyebabkan kerosakan yang teruk; banyak orang Israel binasa. 31Kota dirompak lalu dibakar; rumah-rumah dan seluruh tembok kota dirobohkan. 32Ternakan dirampas dan kaum wanita serta anak-anak diangkut sebagai tawanan.
33Kemudian bahagian kota di sebelah utara Rumah Tuhan diperkuat dengan tembok-tembok yang tinggi dan kukuh serta menara-menara yang sangat kuat, dan tempat itu dijadikan kubu mereka. 34Di situ mereka menempatkan sekelompok pemberontak Yahudi yang berdosa dan pelanggar-pelanggar hukum untuk memperkuat pertahanan. 35Mereka juga memasukkan senjata dan makanan serta semua barang rampasan dari Yerusalem. Kubu itu merupakan ancaman besar bagi kota.
36Kubu itu menjadi ancaman bagi Rumah Tuhan,
musuh jahat yang terus mengadang Israel.
37Orang yang tidak bersalah dibunuh di sekeliling mazbah
yang dicemarkan oleh penumpah darah.
38Penduduk Yerusalem lari ketakutan
dan kota itu menjadi kediaman orang asing.
Yerusalem menjadi asing bagi penduduknya sendiri
yang terpaksa meninggalkannya.
39Rumah Tuhan sepi seperti padang gurun,
hari-hari perayaannya menjadi hari perkabungan.
Hari Sabat menjadi kehinaan,
kehormatannya menjadi bahan tertawaan.
40Penghinaannya sekarang sebesar kemuliaannya dahulu;
keagungannya sudah menjadi perkabungan.
Rumah Allah Dicemarkan
41-42Kemudian Raja Antiokhus mengeluarkan perintah yang mewajibkan semua bangsa dalam wilayah kerajaan baginda untuk meninggalkan adat istiadat masing-masing dan menjadi satu bangsa. Semua bangsa asing mentaati perintah itu. 43Antara orang Israel pun banyak yang memeluk agama baginda, dan mempersembahkan korban kepada berhala-berhala serta melanggar peraturan istirahat pada hari Sabat.
44Raja juga mengirim utusan ke Yerusalem dan ke kota-kota di Yudea dengan surat perintah yang mewajibkan semua orang untuk mengikut adat istiadat asing. 45Mereka dilarang mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan, korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan, dan korban wain di Rumah Allah, dan memerintahkan mereka untuk menghapuskan hari Sabat dan semua perayaan, 46serta mencemar Rumah Allah dan pelayan-pelayannya. 47Mereka dipaksa membuat mazbah-mazbah dan kuil-kuil tempat pemujaan berhala serta mempersembahkan babi dan binatang haram yang lainnya. 48Mereka dilarang menyunat anak-anak mereka dan disuruh mencemar diri dengan cara apa sahaja, 49supaya lupa akan Taurat Musa dan meninggalkan adat istiadat. 50Orang yang melanggar peraturan raja harus dihukum mati.
51Raja menetapkan peraturan itu bagi seluruh kerajaannya. Baginda melantik pengawas-pengawas di mana-mana dan memerintahkan supaya di setiap kota di Yudea dipersembahkan korban kepada dewa-dewa. 52Banyak orang Yahudi bersedia meninggalkan Taurat dan mentaati pengawas-pengawas itu. Mereka mencemarkan negeri dengan kejahatan mereka, 53dan kelakuan mereka memaksa orang Israel yang baik untuk bersembunyi di mana sahaja.
54Pada tarikh lima belas bulan Kislew tahun 145, Raja Antiokhus menempatkan “Bencana Yang Dahsyat” di atas mazbah di Rumah Tuhan. Di kota-kota di seluruh Yudea didirikan mazbah-mazbah untuk dewa-dewa. 55Di hadapan pintu rumah-rumah dan di jalan-jalan, pembakaran korban dilakukan. 56Setiap kitab Taurat yang ditemukan dikoyak dan dibakar, 57dan sesiapa sahaja yang didapati menyimpan kitab suci atau mentaati Taurat, dihukum mati atas perintah raja. 58Berbulan-bulan orang yang kejam menggunakan kekuasaan mereka terhadap orang Israel yang terdapat di kota-kota.
59Pada tarikh dua puluh lima bulan itu korban dipersembahkan oleh mereka di mazbah dewa yang ditempatkan di atas mazbah di Rumah Tuhan. 60Ibu-ibu yang menyunatkan anak mereka dihukum mati sesuai dengan perintah raja, 61dan bayi-bayi digantung pada leher. Kaum keluarga mereka dan orang yang telah melakukan sunat juga dihukum mati. 62Tetapi ada banyak orang Israel yang dengan tegasnya menentang peraturan raja dan tidak mahu makan makanan yang najis. 63Mereka lebih suka mati daripada melanggar perjanjian Tuhan dengan makan makanan yang haram. Banyak di kalangan mereka mati dibunuh. 64Israel ditimpa kemurkaan Allah dan mereka sangat menderita.

Currently Selected:

1 MAKABE 1: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy