Mazmur 37:5-17
Mazmur 37:5-17 AVB
Serahkan jalan hidupmu kepada TUHAN; percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak: Dia akan menyatakan perbenaranmu seterang cahaya, dan keadilanmu seterang matahari tengah hari. Sandarkan hatimu kepada TUHAN dan sabarlah menanti tindakan-Nya; jangan gusar kerana ada yang makmur mengikut jalan sendiri, kerana ada yang menjayakan rancangan zalim. Jangan marah, jangan meradang; jangan gusar — segalanya cuma membawa mudarat. Orang yang melakukan kejahatan akan dimusnahkan, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi bumi. Hanya seketika lagi, orang zalim akan lenyap; malah kamu akan mencari dengan teliti bekas tempatnya, tetapi hapus sama sekali. Orang yang rendah hati akan mewarisi bumi dan akan bersukacita dengan kesejahteraan yang melimpah-limpah. Orang zalim menyusun rancangan menentang orang yang benar dan menggertakkan gigi terhadapnya; Tuhan mentertawakannya, kerana Tuhan tahu harinya akan tiba. Orang zalim telah menghunus pedang dan melengkungkan busur mereka untuk menindas orang miskin dan sesak, serta membunuh orang yang hidup tulus. Pedang mereka akan menembusi hati sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan. Sedikit yang dimiliki oleh seorang yang benar lebih baik daripada kekayaan besar orang zalim; kerana lengan orang zalim akan dipatahkan, tetapi TUHAN akan menolong orang yang benar.







