Amsal 15:1-4, 23-28
Amsal 15:1-4 AVB
Jawapan yang lemah lembut meredakan murka, tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah. Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik, tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan. TUHAN melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja, memperhatikan yang jahat dan yang baik. Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat, tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat.
Amsal 15:23-28 AVB
Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya, dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya! Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas, supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah. TUHAN membongkar rumah orang yang sombong, tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu. Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya. Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri, tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup. Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya, tetapi mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat.









