1 Timotius 1:12-20
1 Timotius 1:12-20 AVB
Aku bersyukur kepada Kristus Yesus, Tuhan kita, yang telah menguatkanku, kerana Dia menganggapku setia, lalu memberiku tugas itu, walaupun dahulu aku seorang yang kufur, menganiaya dan ganas. Namun demikian, aku dikasihani-Nya kerana aku telah melakukan semuanya itu ketika aku jahil dan tidak beriman. Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus. Pernyataan ini benar dan harus diterima sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang yang berdosa — akulah orang yang paling berdosa. Namun demikian, justeru itulah aku dikasihani, supaya Yesus Kristus dapat menunjukkan kesabaran-Nya yang tidak terhingga, sebagai contoh kepada orang yang akan beriman kepada-Nya untuk hidup kekal. Penghormatan dan kemuliaan selama-lamanya kepada Raja segala zaman, Allah yang kekal, yang tidak dapat dilihat, dan yang esa. Amin. Perintah ini kuamanahkan kepadamu, anakku Timotius, menurut apa yang telah dinubuatkan tentangmu, supaya dengan mematuhinya, kamu akan perjuangkan perjuangan mulia ini, sambil berpegang kepada iman dan hati nurani yang bersih. Ada yang membelakanginya lalu memusnahkan iman mereka. Antaranya ialah Himeneus dan Aleksander, yang kuserahkan kepada Iblis supaya mereka insaf daripada mengkufuri Allah.





